MENGGANGGU kehidupan seharian dan menyebabkan pelbagai implikasi.
MENGGANGGU kehidupan seharian dan menyebabkan pelbagai implikasi.
MASALAH hidung sensitif pasti meninggalkan rasa tidak selesa kepada penghidapnya.
MASALAH hidung sensitif pasti meninggalkan rasa tidak selesa kepada penghidapnya.
DAPATKAN rawatan sesuai untuk menangani masalah hidung sensitif.
DAPATKAN rawatan sesuai untuk menangani masalah hidung sensitif.
PANEL yang terbabit dalam forum ‘Scent-sitive Nose’ anjuran Nuvanta Sdn Bhd, baru-baru.
PANEL yang terbabit dalam forum ‘Scent-sitive Nose’ anjuran Nuvanta Sdn Bhd, baru-baru.
Siti Nadirah Hafidzin


Hidung sering tersumbat dan berair apabila terdedah kepada habuk selain kerap bersin sebaik bangun tidur terutama pada waktu pagi pastinya memberikan rasa tidak selesa yang perlu dibendung.

Gejala di atas menunjukkan anda mungkin mengalami masalah hidung sensitif atau lebih biasa dikenali sebagai sinus dalam kalangan masyarakat.

Dari aspek perubatan, ia dipanggil alahan rinitis yang berlaku apabila berlaku keradangan hidung yang kronik dan ditunjukkan melalui beberapa simptom antaranya bersin, hidung berair dan hidung tersumbat.

Bagi membincangkan mengenai masalah hidung sensitif, forum ‘Scentsitive Nose’ anjuran Nuvanta Sdn Bhd diadakan baru-baru ini dalam misi meningkatkan kesedaran umum mengenai organ olfaktori manusia (deria bau atau hidung), alahan rinitis dan sinusitis.

Program yang menggabungkan sesi pendidikan dengan media interaktif dihadiri panel pakar iaitu Pakar Perunding Otorinolaringologi Dr Azida Zainal Anuar, Pakar Psikologi Klinikal Dr Priyadarshini Srinivasan Moharkonda dan Ahli Farmasi & Pengurus Unit Perniagaan Divisyen Perubatan dan Nuvaseutikal Nuvanta Sdn Bhd Datin Swanee Teh.

Menurut Swanee, hidung adalah peranti khas yang membolehkan seseorang itu menghidu bau yang menyenangkan atau menyesakkan. Deria bau memainkan peranan menakjubkan dan amat penting dalam alam semula jadi kerana ia membolehkan manusia mengesan kira-kira satu trilion bau yang berlainan.

“Namun, kira-kira 30 peratus populasi dunia daripada pelbagai peringkat usia dan etnik terpaksa berdepan dengan masalah alahan rinitis yang mengganggu deria bau.

“Berdasarkan angka ini, hampir satu daripada tiga rakyat Malaysia cenderung mengalami masalah hidung sensitif atau sinusitis setiap hari,” katanya.

Tambah Swanee, individu yang mengalami rinitis dan sinusitis kerap menderita dalam diam dan ia pastinya mengganggu rutin harian pesakit kerana sukar bernafas, menghidu bau, tidur dan juga belajar dengan baik.

Tidak perlu risau, masalah sinus saja!

Menurut Dr Azida, alahan rinitis merujuk kepada keradangan membran nasal (hidung) yang dicirikan oleh bersin, hidung tersumbat, gatal dan hidung berair di dalam mana-mana kombinasi.

“Sebaliknya, sinusitis merujuk pada keradangan mukosa sinus. Sinus terletak di dalam tulang pipi, pada bahagian belakang hidung, dalam dahi dan antara kedua-dua mata. Sinusitis menyebabkan gejala tambahan seperti sakit kepala, sakit pada bahagian muka dan keradangan hidung,” katanya.

Dr Azida berkata, sinusitis lazimnya berlaku disebabkan keradangan yang bermula di dalam hidung.

“Oleh sebab kedua-dua keadaan ini amat berkait rapat, doktor kini menggunakan istilah rinosinusitis untuk menggambarkan seseorang yang mengalami keradangan hidung (rinitis) dan juga keradangan sinus (sinusitis).

“Walaupun ramai individu percaya alahan rinitis dan sinusitis berlaku disebabkan alergen yang terdapat dalam persekitaran seperti hama debu, bulu haiwan peliharaan, kulapuk dan debunga tumbuhan namun punca sebenarnya adalah disebabkan perubahan sistem imun individu yang menjadi hipersensitif atau terlalu sensitif dan keadaan ini amat dipengaruhi oleh faktor genetik,”ujarnya.

Menurutnya, setiap hari mukosa dalam hidung dan sinus menghasilkan lebih kurang satu liter mukus (cecair berlendir) yang me­ngalir ke bahagian belakang hidung melalui pergerakan silium.

“Mukus ini kemudian ditelan tanpa disedari dan apabila keradangan berlaku dalam hidung dan sinus, silium akan berhenti bergerak dan gagal mengangkut mukus, yang seterusnya akan terkumpul dalam hidung dan sinus.

“Pada masa yang sama, lapisan mukosa membengkak dan menyekat ostia (bukaan) sinus. Jika jangkitan berlaku, mukus akan berubah daripada cecair yang tidak berwarna menjadi lendir kehijauan dalam sinus itu,” katanya.

Kata Dr Azida, kira-kira 51 peratus kes sinusitis berlaku disebabkan alahan yang mencetuskan keradangan hidung.

“Walaupun alahan rinitis tidak mengancam nyawa melainkan sekiranya ia diiringi dengan asma yang teruk, keadaan ini bukan saja menelan belanja yang besar untuk ditangani, malah ia juga boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit dengan ketara.

“Hampir separuh daripada pesakit alahan rinitis juga menghidap asma, kerana kedua-dua penyakit ini mengganggu fungsi saluran pernafasan yang sama,” katanya.

Dr Azida berkata, alahan rinitis dan sinusitis boleh menyebabkan anosmia atau hilang deria bau disebabkan hidung tersumbat atau kewujudan lesi obstruktif seperti polip dalam hidung.

“Dalam kes ini, pembedahan untuk membuang elemen obstruktif (penghalang) itu mungkin dapat mengembalikan deria bau namun kadangkala ia tidak berhasil,” ujarnya.

Hubungan antara deria bau dan rasa

Hidung bukan hanya sekadar organ bau kerana deria bau dan deria rasa saling berkait. Malah, deria bau membantu menikmati keenakan makanan sehingga 80 peratus.

Deria bau amat penting terhadap tanggapan mengenai persekitaran. Ia juga adalah elemen penting dalam kebanyakan interaksi sosial dalam masyarakat.

Hidung yang kerap bersin atau berair akan menumpulkan deria bau di samping mengganggu keupayaan untuk bernafas dengan normal dan mengakibatkan cara bertindak balas terhadap persekitaran selain menjejaskan kehidupan.

Menurut Dr Azida, hidung tersumbat yang kronik boleh menyebabkan masalah tidur dan berdengkur. Dengkur dan tidur malam yang tidak nyenyak boleh mencetuskan jurang antara pasangan apabila kedua-dua pihak berasa letih dan dengan emosi yang terganggu sudah pasti hilang keinginan seksual dan keintiman.

Sementara itu, Dr Priyadarshini berkata, alahan rinitis dan sinusitis adalah antara masalah serius kerana ia mampu mempengaruhi tanggapan pesakit terhadap diri mereka.

“Berbanding individu yang perlu mengharungi kehidupan harian dengan penyakit kronik, pesakit yang mengalami hidung sensitif atau sinusitis sering ketinggalan dalam aktiviti harian seperti bersosial dengan rakan di sekolah atau di tempat kerja disebabkan masalah hidung dialami.

“Pesakit berasa malu untuk berada di khalayak ramai dan berasa seolah-olah mereka menipu diri sendiri kerana sukar bagi sesiapa untuk menerima hakikat mengenai perubahan keupayaan diri terutamanya keupayaan yang tidak ketara dan tidak disedari orang lain,” katanya.

Menurutnya, pesakit berasa kecewa dengan keadaan hidung yang tidak dapat berfungsi dengan baik, malah mereka bosan kerana perlu mengambil ubat bagi melegakan gejala penyakit hanya untuk beberapa ketika.

“Hidung tersumbat mungkin tidak dianggap sebagai keadaan yang serius, namun pesakit menyedari keupayaan normal yang pernah mereka miliki kian terbatas.

“Anak kecil yang dahulunya ceria kini menjadi pemarah dan cepat merengek. Pasangan anda yang gemar bersosial kini lebih suka menghabiskan masa di rumah dan menonton televisyen manakala atlet yang dahulunya teruja memburu pingat emas mungkin akan kehilangan stamina dan semangat untuk menang,” katanya.

Penyelidikan terapi semula jadi

Sekumpulan saintis di Puusat Ruder Boskovic di Zagreb, Croatia, berjaya merumus bahan aktif lectranal daripada ekstrak akar astragalus semula jadi.

Kajian yang teliti dan menyeluruh menunjukkan ubat herba ini berkesan untuk melegakan hidung hipersensitif dan sinusitis. Kajian mengenainya diterbitkan dalam jurnal Phytotherapy Research pada 2010 dan rawatan ini terbukti berjaya mengurangkan sehingga 70 peratus masalah hidung sensitif selepas rawatan selama dua bulan.

Berbanding terapi lain yang umum dan tidak spesifik, lectranal bertindak tepat pada mekanisme hipersensitif sistem imun yang bertanggungjawab mencetuskan tanda masalah hidung.

Ia mendorong sistem imun untuk bertindak balas secara normal dan tidak lagi memasuki mod hipersensitif setiap kali ia berdepan dengan alergen seperti habuk, debunga atau perubahan cuaca.

Jenis alergen tidak penting kerana lectranal menyasarkan proses utama dalam sistem imun yang menjadi penyebab tindak balas hipersensitif, dengan mempengaruhi cara sistem imun memproses sesuatu alergen.

Lectranal bertindak secara berbeza daripada ubat seperti antihistamina yang hanya mengeringkan hidung berair tetapi membiarkan sistem imun terus berada dalam keadaan hipersensitif.

Ekstrak herba berpaten ini juga terbukti membantu sistem imun mengingati jenis alergen supaya ia dapat bertindak balas terhadap alergen tertentu pada masa hadapan tanpa menyebabkan kemunculan masalah hidung yang tidak menyenangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2016 @ 11:34 AM