Hofbauer (tengah) dan Syed Zainol (kanan) bersama produk Nestle.
Hofbauer (tengah) dan Syed Zainol (kanan) bersama produk Nestle.
myMetro

Kuala Lumpur: Nestle (Malaysia) Berhad (Nestle), pengeluar makanan dan minuman serta peneraju segmen pemakanan, kesihatan dan kesejahteraan memperuntukkan perbelanjaan modal (CAPEX) RM130 juta tahun ini berbanding RM200 juta tahun lalu.

Pengarah Urusannya, Alois Hofbauer berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk aktiviti teknologi modenisasi termasuk inovasi produk, selain pengembangan kapasiti syarikat.

“Inovasi terus menjadi peneraju penting di Nestle. Antara inovasi baru yang dilancarkan adalah Milo Nutri G, Nescafe Blend & Brew, Kit Kat Teh Hijau, susu sedia diminum Nestle Omega Plus, aiskrim Mat Kool Butterfly dan pilihan aiskrim batang seperti La Cremeria dan Drumstick Caffe de Caramel,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Nestle Malaysia, Tan Sri Syed Zainol Anwar Jamalullail dan Pengarah Eksekutifnya, Martin Peter Krugel.

Mengulas mengenai keputusan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, beliau berkata, Nestle mencatatkan pertumbuhan dalam suasana ekonomi mencabar dengan meraih keuntungan selepas cukai RM591 juta, peningkatan 7.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Walaupun berdepan dengan cabaran semasa, kami tetap teguh dan mencapai pertumbuhan mantap dalam perniagaan tempatan dan eksport iaitu masing-masing menyumbangkan peningkatan 0.4 peratus kepada 79.1 peratus dan kenaikan 1.5 peratus kepada 20.9 peratus daripada jumlah keseluruhan perniagaan berbanding 2014.

“Sejajar komitmen kumpulan menjana nilai untuk pemegang saham, Lembaga Pengarah mencadangkan dividen akhir RM1.10 dan khas RM0.20, menjadikan jumlah dividen keseluruhan RM2.60 sesaham,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2016 @ 7:01 AM