SET televisyen lengkap bersama set karaoke.
SET televisyen lengkap bersama set karaoke.
Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman


Menyusuri Tasik Kenyir dengan rumah bot membuatkan percutian penulis ke Terengganu kali ini cukup berbaloi.

Peluang menaiki dan bermalam di rumah bot dua tingkat dinamakan X-Army 8318 itu diperoleh selepas diberi peluang mengikuti kunjungan Perbadanan Hal-Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) untuk mengesan pesara tentera yang bergiat aktif dalam bidang keusahawanan.

Baru setahun mengusahakan rumah bot itu, pemiliknya Abd Aziz Ab Rahman, 44, berkata, nama X-Army 8318 adalah sempena kad pengenalan tenteranya.

Keseluruhan rekaan dan hiasan rumah bot itu dilakukan sendiri Abd Aziz dengan bantuan abang dan adiknya yang memiliki kepakaran dalam pembinaan rumah dan kimpalan.

“Bermodalkan RM260,000, rumah bot itu siap dan mula beroperasi pada hujung Februari tahun lalu,” katanya.

Abd Aziz berkata, idea memulakan perkhidmatan rumah bot itu tercetus selepas melihat potensi industri pelancongan di Tasik Kenyir melalui beberapa rakannya.

“Sebelum memulakan perkhidmatan rumah bot, saya pernah mengusahakan ternakan itik, namun kerugian selepas banjir besar dua tahun lalu,” katanya yang bersara pada tahun 2013.

Selepas mengusahakan rumah bot berkenaan, dia memperoleh pendapatan kasar hampir RM20,000 sebulan.

Menurutnya, antara kemudahan disediakan rumah bot itu ialah enam bilik dan ‘dorm’ yang boleh menampung sehingga 20 pengunjung.

Selain mempunyai bilik tidur, rumah bot itu juga memiliki ruang solat, ruang tamu, dapur serta tiga bilik air yang selesa untuk digunakan sepanjang tempoh pelayaran.

Mengenai pelayaran, sudah pasti pengunjung tidak dapat lari daripada tertanya-tanya mengenai aktiviti ditawarkan sepanjang tempoh penginapan.

Menurut Abd Aziz, pakej yang disediakannya memberi pengisian bermakna kepada pengunjung yang datang bersama keluarga mahupun rakan.

Katanya, ketika di dalam bot, pengunjung boleh menggunakan televisyen, set karaoke, peralatan memasak dan memancing.

“Antara pakej ditawarkan ialah dua hari semalam dan pakej tiga hari dua malam.

“Untuk pakej tiga hari dua malam, pengunjung bakal dibawa ke Air Terjun Lasir, tempat perlindungan kelah, Pulau Herba, Air Terjun Saok, Pulau Rama-Rama dan Pulau Orkid,” katanya.

Katanya, jika ada permintaan untuk ke pulau berhampiran, pengunjung perlu memaklumkan kepada tekong bertugas terlebih dahulu agar perjalanan bot dapat diatur, sesuai dengan keselesaan pengunjung.

Sepanjang tempoh penginapan penulis selama tiga hari dua malam di rumah bot itu, antara kenangan tidak boleh dilupakan ialah merasai pengalaman tidur di bot berkenaan sambil diiringi bunyi alam semula jadi.

Walaupun bumi Terengganu sudah lama tidak dibasahi hujan, suhu panasnya itu tidak mengganggu lena penulis pada waktu malam kerana bot diletakkan berhampiran pulau yang dipenuhi pokok menghijau.

Disebabkan hampir semua aktiviti luar bot yang ditawarkan bersifat mesra hijau dan mendekati alam, segala tekanan dan hiruk-pikuk bandar seakan-akan hilang untuk seketika.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 5:09 AM