HARIMAU Muda B bakal diperkuat  anak buah Kim Swee.
HARIMAU Muda B bakal diperkuat anak buah Kim Swee.

Kelana Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memandang serius setiap kejohanan disertai skuad negara sama ada kelayakan Piala AFC Bawah 23 tahun atau Sukan SEA 2015.

Itu penjelasan Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berhubung situasi melanda jurulatih Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee dan jurulatih Harimau Muda B Mohd Razip Ismail.

Seramai 11 pemain skuad Harimau Muda A kendalian Kim Swee akan diserapkan ke skuad Razip bagi saingan kelayakan Piala AFC Bawah 23 tahun dijadual berlangsung Mac tahun depan dengan sebahagiannya lagi pulang ke pasukan negeri dan kelab dalam kancah Liga Malaysia.

“Selepas mengadakan perbincangan, ini jalan terbaik. Kami tidak boleh memuaskan hati semua pihak, namun keputusan itu dipersetujui kedua-dua pengurus pasukan, Datuk Seri Afandi Hamzah (Harimau Muda A) dan Datuk Rozabil Abdul Rahman (Harimau Muda B).

“Bagaimanapun hari ini saya akan mengadakan perbincangan dengan Kim Swee, Razip serta kedua-dua pengurus pasukan bagi memuktamadkan perkara ini,” kata Hamidin semalam.

Mengikut perancangan, Kim Swee akan memantau pemain bawah 23 tahun dalam kancah domestik untuk diserapkan ke skuad Sukan SEA 2015 di Singapura dijadual berlangsung Jun tahun depan.

Razip, selain mengemudi skuad beraksi di Liga Singapura, akan memberi tumpuan mempersiapkan pasukan untuk menghadapi saingan kelayakan Piala AFC dengan undian bakal berlangsung Khamis ini dan FAM sudah menawarkan diri menjadi tuan rumah bagi aksi kelayakan itu.

“Sebaik saja selesai saingan kelayakan pada Mac, pemain terpilih akan dipanggil menyertai skuad Kim Swee bagi persiapan menghadapi Sukan SEA.

“Baki pemain bawah 23 tahun yang beraksi bersama pasukan negeri dan kelab akan dipanggil menyertai skuad Kim Swee pada 1 Mei,” katanya.

Sementara itu Hamidin mengesahkan jurulatih bawah 16 tahun negara, S Balachandran menyerahkan surat peletakan jawatan minggu lalu namun ia akan dibincangkan dalam pertemuan empat mata bersama pengendali berkenaan hari ini bagi memuktamadkan keputusan.

Balachandran hampir membawa skuad bawah 16 tahun negara melangkah ke pusingan akhir Piala Dunia Bawah 17 Tahun, namun tewas 1-2 di suku akhir Piala AFC kepada Australia pada September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 6:44 AM