Kuala Lumpur: Aeon Co (M) Bhd menjalinkan kerjasama dengan Index Living Mall Co Ltd untuk melancarkan pembukaan gedung runcit perabot pertamanya dikenali sebagai Indexliving Mall di IOI City Mall, Putrajaya baru-baru ini bertujuan menyediakan pelanggan dengan perabot rumah yang memiliki reka bentuk menarik dan berkualiti tinggi pada harga berpatutan.

Cawangan terbabit akan diuruskan Aeon Index Living Sdn Bhd iaitu syarikat ditubuhkan melalui usaha sama antara Aeon Malaysia dan Index Living Mall Thailand, peruncit peralatan serta perhiasan rumah terkemuka Thailand bagi menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan di rantau Asia Tenggara terutama Malaysia.

Pengarah Urusan Aeon Malaysia, Nur Qamarina Chew berkata, pihaknya bertuah kerana kerjasama ini menjadikan kewujudan Indexliving Mall sebagai satu realiti dan ia bakal menjadi penjana ekonomi baru.

“Indexliving Mall yang memiliki keluasan 5,704 kaki persegi itu menawarkan barangan dekorasi dan perabot rumah yang memenuhi keperluan pemilik rumah dengan operasi berdasarkan konsep ‘Joy’ yang memfokus kepada harga lebih baik, rekaan dan jenama terkemuka dunia, pilihan dan kemasan terbaik serta pengalaman pelanggan berkualiti tinggi,” katanya pada majlis pelancaran gedung itu.

Pusat beli-belah ini bakal dilengkapi program ilustrasi tiga dimensi (3D) terkini untuk mewujudkan pandangan 360 darjah yang akan membantu pelanggan membayangkan dan membina rumah idaman dalam tempoh 30 minit.

Beliau berkata, pihaknya optimis dengan kerjasama terbaru itu memandangkan pasaran hiasan rumah Malaysia hanya disertai sebahagian kecil daripada jenama antarabangsa.

“Kami akan meneruskan usaha untuk meningkatkan lagi perniagaan di rantau Asia Tenggara dengan sasaran menjadi peruncit pertama di Asia melalui pencapaian pertumbuhan dan keuntungan kami,” katanya.

Bersempena pelancaran itu, Aeon Index Living Sdn Bhd melancarkan program ganjaran keahlian iaitu Joy Card di mana ia membolehkan pelanggan menikmati pelbagai manfaat termasuk jemputan istimewa untuk bengkel khas di samping mengutip mata ganjaran setiap kali membeli-belah di Indexliving Mall.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 5:02 AM