Peminjam boleh tampil di semua cawangan PTPTN Johor. - Foto Fail
Peminjam boleh tampil di semua cawangan PTPTN Johor. - Foto Fail
BERNAMA

Johor Bahru: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Johor menyeru peminjam tampil berbincang untuk menyelesaikan urusan pembayaran balik pinjaman di cawangannya di negeri ini.

Pengurus Besar PTPTN Negeri Aizam Abdul Aziz@Drahaman berkata perbincangan itu perlu untuk memberi pencerahan kepada peminjam.

"Kita tidak dapat membantu selagi peminjam tidak tampil untuk menyatakan permasalahan mereka hadapi, kerana kami tidak tahu, setiap orang mesti ada kes berbeza.

"Contohnya, jika peminjam belum membuat Ujrah kita menggalakkannya, sebab caj yg dikenakan rendah iaitu satu peratus," katanya pada Majlis Hi-Tea PTPTN bersama Kelab Media Johor (KMJ) di sini, hari ini.

Katanya, perbincangan adalah cara lebih baik daripada mempercayai perkara yang dibaca dalam blog atau yang diviralkan di laman sosial atau cerita rakan-rakan.

Bagi menggalakkan peminjam membayar balik pinjaman, pihaknya mengadakan program dan promosi seperti Promosi Ambang Raya PTPTN Johor dan Promosi Cuti-Cuti @JDT PTPTN Johor yang menawarkan hadiah menarik.

Setakat ini 98,588 peminjam di Johor mempunyai tunggakan manakala 4,325 peminjam dari negeri ini disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 11:02 PM