PENGUNJUNG berpeluang memberi gajah makan dengan makanan yang dijual di PKGK.
PENGUNJUNG berpeluang memberi gajah makan dengan makanan yang dijual di PKGK.
Mohd Rafi Mamat


Mandi di sungai bersama anak gajah selain berpeluang memberi makan tebu dan kacang kepada haiwan berkenaan menjadi tarikan utama pelancong di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, Temerloh.

Mula ditubuhkan pada 1974, pusat itu yang menempatkan 26 gajah kini menjadi antara destinasi kunjungan utama pelancong tempatan dan luar negara yang dibuka setiap hari.

PKGK yang berada di bawah pengurusan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menerima kehadiran 190,645 pelancong tahun lalu dan 164,298 pada 2014.

Bagi menaik taraf infrastruktur di PKGK, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menyediakan peruntukan RM4 juta di bawah projek Malaysian Mega Biodiversity Hub (MMBH)

Selepas dua tahun projek menaik taraf dilakukan, kehadiran pelancong terus bertambah dan rata-rata mereka berpuas hati kerana berpeluang melihat lebih dekat gajah dalam kurungan terbuka sambil memberi makan.

Antara kemudahan baru yang disediakan untuk keselesaan pelancong ialah pentas menonton persembahan gajah, laluan pejalan kaki, pusat infomasi dan kawasan meletak kenderaan yang lebih banyak.

Ogos setiap tahun, sambutan Hari Gajah Sedunia diadakan di PKGK yang menyajikan pelbagai aktiviti seperti menghidangkan pelbagai buah-buahan kepada haiwan berkenaan selain perarakan ala pahlawan silam.

Sambutan Hari Gajah Sedunia tahun lalu dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meluangkan masa lebih tiga jam menyaksikan persembahan.

Pengarah PKGK Nasharudin Othman berkata, kehadiran pelancong kini semakin bertambah dan meningkat dua hingga tiga kali ganda pada musim cuti persekolahan.

“Mereka datang mengikuti program rombongan sekolah bersama keluarga selain dibawa agensi pelancongan yang begitu sinonim dengan pusat ini.

“Kami masih mengadakan aktiviti mandi bersama gajah di sungai dengan pengawasan rapi kakitangan PKGK. Pelancong asing meminati aktiviti ini berbanding pengunjung tempatan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus berusaha menjadikan PGKG sebagai lokasi pelancongan terkenal di negara ini yang mampu meletakkan daerah ini dalam peta pelancongan antarabangsa.

Menurutnya, selain terbabit dalam industri pelancongan, pihaknya tidak terlepas dengan tugas utama iaitu aktiviti menangkap dan memindahkan gajah liar yang berjaya ditangkap dalam hutan di Semenanjung.

Katanya, PGKG sentiasa memikirkan cara sesuai untuk menarik kehadiran pelancong selagi tidak membahayakan mereka terutama apabila berada terlalu hampir dengan gajah.

“Kami sentiasa memberi keutamaan terhadap keselamatan pelancong sepanjang mereka berada bersama gajah, hanya sedikit kesilapan akan menyebabkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Nasharudin berkata, tugas lain yang turut digalas pihaknya ialah membabitkan operasi menyelamat anak gajah sesat selepas terpisah dengan kumpulan, selain yang mengalami cedera selepas terkena jerat.

PKGK beroperasi Isnin hingga Khamis bermula 12 tengah hari hingga 4.45 petang, Jumaat mula 2.45 hingga 4.45 petang, manakala Sabtu dan Ahad serta cuti umum bermula 10 pagi hingga 4.45 petang.

Mereka yang berminat berkunjung ke PKGK secara berkumpulan boleh menghubungi pejabat PKGK di talian 09 279 0391.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 5:19 AM