MOTOSIKAL yang ditunggang mangsa dan rakannya. FOTO Adnan Ibrahim
MOTOSIKAL yang ditunggang mangsa dan rakannya. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


Kluang: Lelaki berusia 22 tahun maut selepas bertarung nyawa hampir dua jam 40 minit apabila motosikal ditunggangi terbabit dalam kemalangan di Kilometer 71.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan berhampiran Machap, di sini, kira-kira jam 10.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Assistan Komisioner Muhamad Laham berkata, mangsa, Khairul Azmy Karim yang menunggang motosikal mengalami kecederaan parah akibat daripada kemalangan itu sebelum dikejarkan ke Hospital Enche Besar Hajah Kalsom (HEBHKK) Kluang.

Menurutnya, hasil siasatan awal kemalangan berpunca daripada kegagalan seorang pemandu sebuah kereta mengawal kenderaannya apabila satu daripada tayarnya pecah.

"Mangsa yang datang dari arah sama gagal memberhentikan motosikalnya sebelum melanggar bahagian tepi kereta lelaki terbabit.

"Seorang lagi rakan mangsa yang turut terbabit didalam kemalangan itu kini dirawat di HEBHKK kerana mengalami kecederaan parah," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2016 @ 12:05 PM