Siti Zarinah Sahib

Sudah hampir lima tahun Ahmad dan Sabrina tinggal berasingan. Seorang di utara dan seorang di selatan. Dalam tempoh ini pelbagai cabaran terpaksa dihadapi. Jika hati tidak kuat sudah lama mereka membuat keputusan yang akan melukakan hati masing-masing. Namun demi anak serta cinta yang disemai, kasih sayang mereka tetap utuh sehingga sekarang.

Menjalinkan perhubungan suami isteri dalam jarak jauh sememangnya sangat mencabar. Bukan saja cabaran dari segi menjaga hati dan perasaan tetapi termasuk kewangan. Ada beberapa perkara yang harus diberikan perhatian agar hubungan yang kekal terjalin ini akan terus mekar sampai bila-bila.

1. Komunikasi

Komunikasi sangat penting. Walaupun berjauhan, masing-masing masih boleh menggunakan telefon seperti SMS atau WhatsApp dan e-mel untuk saling berhubung di antara satu sama lain. Lakukan setiap hari sekadar bertanya khabar. Ini bagi mengelak pasangan merasa sunyi dan merasakan diri mereka dihargai.

2. Berkongsi sesuatu

Ini satu bentuk komunikasi yang sangat penting. Tanyalah pasangan apa saja yang mungkin mengenai tempat kerja, sekolah, rumah, sama ada selesa atau tidak atau apa saja cerita yang boleh dikongsi bersama. Melalui perkongsian ini, ia akan mewujudkan rasa sayang antara satu sama lain.

3. Jadi romantik

Anda juga boleh menjadi seorang yang romantik walaupun berada jauh. Caranya dengan mengirimkan mawar atau hadiah yang disukainya. Untuk suami, anda boleh berikan jam tangan atau rakaman nyanyian anda. Sudah pasti pasangan akan teruja.

4. Elakkan rasa cemburu

Walaupun cemburu tanda cinta, anda harus menyatakan dengan jujur kepada pasangan perasaan anda ketika itu. Jangan menjadi individu yang sensitif disebabkan rasa cemburu. Ini membuatkan pasangan bosan dengan anda.

5. Kesetiaan

Perkara yang harus dijaga dalam perhubungan ialah kesetiaan. Jaga kesetiaan dan percayalah pasangan anda adalah insan terbaik dan sesuai. Jika anda tidak boleh menjaga kesetiaan, jangan berharap hubungan yang terjalin bertahan lama.

6. Saling memahami

Seringkali hanya disebabkan masalah kecil boleh meretakkan hubungan anda. Fahami pasangan anda mengapa dia marah dan apa yang harus dilakukan. Memahami diri pasangan sangat bagus bagi meredakan kemarahannya.

7. Jangan ego

Elakkan rasa ego kerana ia hanya menyebabkan masalah menjadi lebih besar. Sentiasa mengakui kesilapan dan meminta maaf antara satu sama lain. Baik lelaki mahupun wanita, sekiranya anda mampu menundukkan ego ia membuatkan diri anda lebih dihormati.

8. Bertemu

Buat komitmen bertemu pasangan mungkin seminggu sekali atau sebulan sekali. Pastikan masa digunakan sebaik-baiknya untuk melayan pasangan anda. Jangan ada rasa marah, dendam atau benci ketika bertemu pasangan anda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 12:28 PM