MSI R7 360
MSI R7 360
Afiq Hanif


Jika anda pemain game yang ‘hardcore’, sudah pasti anda memerlukan sistem yang memastikan segala-galanya berjalan lancar bagi memastikan permainan tidak terganggu oleh faktor seperti grafik tidak lancar dan sebagainya.

Oleh itu, kad grafik seperti MSI R7 360 memberi jawapan terbaik kebimbangan kepada pemain game yang sering menghadapi masalah grafik dalam CPU mereka.

Kad grafik MSI R7 360 mempunyai rekaan yang kompak sesuai jika anda pengubah atau gemar ‘customize’ PC masing-masing menjadikannya lebih berkuasa.

Namun begitu, ia tidak sesuai untuk dimuatkan dalam kasing yang tak mengikut spesifikasi game atau berprofil rendah.

Ia memandangkan kad ini memerlukan dua slot PCI bagi memuatkan kipas dan penyejuk yang besar.

Selain itu, MSI R7 360 memerlukan kuasa tambahan melalui sambungan kuasa PCI-E untuk memaksimumkan prestasinya.

Penguji menggunakan komputer yang lengkap dengan APU AMD A10-7850K, papan induk jenis ASUS A88X-Pro, RAM 8GB DDR3-2133 dan sistem operasi Windows 10 bagi melihat sendiri kuasa kad grafik ini.

Ternyata, ia boleh memberi kepuasan untuk permainan terutama yang mengambil tempoh lama untuk dihabiskan.

Menerusi perisian Futuremark 3D Mark, ia mencatatkan 4,226 markah untuk bahagian grafik.

Frame Rate pula sedikit rendah daripada biasa namun boleh dirumuskan, ia mempunyai prestasi cukup makan menerusi ujian tekanan berterusan.

Ketika bermain game sebenar pula iaitu Bioshock Infinite, kad grafik ini mencatatkan markah sebanyak 39 iaitu hampir 80 peratus cukup baik ketika bermain game.

Namun, ia kerana Frame Rate yang boleh diterima ketika permainan dan bukannya tetapan grafik terlalu tinggi.

Sepanjang ujian ini, kad grafik MSI R7 360 mencatat suhu 35 darjah ketika waktu rehat dan 73 darjah ketika memproses.

Hasilnya, kad grafik MSI R7 360 bolehlah dikatakan sesuai bagi mereka yang memerlukan kuasa grafik yang mampu mengoperasikan permainan video tetapi bukan pada prestasi terlalu tinggi.

Memanglah padanlah dengan harganya iaitu RM500 saja.

INFO

MSI R7 360

- Harga: RM500

- Pengeluar: MSI

- Ciri: Kad grafik

- Pro: Harga menarik

- Kontra: Belum cukup untuk prestasi tinggi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2016 @ 11:33 AM