BEBERAPA ibu aktivis pelajar menari sebaik anak mereka dibebaskan dari penjara di Tharrawaddy.
BEBERAPA ibu aktivis pelajar menari sebaik anak mereka dibebaskan dari penjara di Tharrawaddy.
Reuters

Naypyidaw: Kerajaan baru Myanmar membebaskan puluhan aktivis semalam, hanya tujuh hari selepas memegang kuasa.

Presiden baru negara itu juga dilapor bersiap sedia untuk mengampunkan lebih 100 orang lagi yang dipenjara kerana kesalahan politik.

Kebanyakan penyokong ikon demokrasi Myanmar, Aung Saan Suu Kyi dan anggota parti Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD) yang diketuainya adalah tahanan politik ketika negara itu ditadbir junta yang mengambil alih kuasa pemerintahan selepas hampir 50 tahun diperintah tentera.

Suu Kyi sendiri yang menghabiskan masa bertahun-tahun di bawah tahanan rumah berkata kelmarin, membebaskan aktivis dan tahanan politik adalah keutamaannya.

Semalam, mahkamah di Tharrawaddy membebaskan 69 aktivis pelajar dan penyokong dari penjara di bandar yang terletak di utara Yangon itu, kata jurucakap Suu Kyi, Zaw Htay.

Pelajar dan anggota keluarga mereka berpelukan, ada yang mengibarkan bendera NLD, selepas aktivis itu dibebaskan.

Sebahagian besar mereka ditahan ketika polis bertindak ganas untuk menyuraikan tunjuk perasaan pelajar pada Mac 2015.

Sementara itu, Presiden Htin Kyaw dilapor bersedia memberi pengampunan kepada lebih 100 orang yang di penjarakan kerana kesalahan politik.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada tentera menyokong tindakan itu.

Pasukan bersenjata Myanmar itu masih memegang jawatan penting dalam Kabinet, termasuk hal ewal kerajaan tempatan, ketenteraman dan keselamatan.

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya lima pelajar yang menghadapi beberapa tuduhan lain, masih ditahan.

Dengan pembebasan itu, 47 aktivis masih dipenjara dan 298 lagi masih diikat jamin sementara tunggu untuk dibicarakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2016 @ 6:56 AM