ATLET SMK Matang gembira muncul juara keseluruhan kejohanan MSSDHT, baru-baru ini.
ATLET SMK Matang gembira muncul juara keseluruhan kejohanan MSSDHT, baru-baru ini.
Malik Muhamad

Kuala Berang: Atlet Sekolah Menengah Kebangsaan Matang (SMK) Matang membuktikan kejaguhan mereka dalam sukan olahraga daerah Hulu Terengganu apabila memperbaharui lapan daripada 18 rekod kejohanan Majlis Sukan Sekolah Daerah Hulu Terengganu (MSSDHT) yang berlangsung di Sekolah Menengah Jenagor, Kuala Berang, baru-baru ini.

Lebih manis, SMK Matang turut dinobatkan juara keseluruhan sekolah menengah selepas mengutip 22 emas, 10 perak dan enam gangsa manakala bagi sekolah rendah, gelaran juara berpihak kepada Sekolah Kebangsaan Bukit Perah (SKBP) Ajil.

Atlet SMK Matang Muhamad Daud Mustaffa dipilih Atlet Terbaik Lelaki B-18 selepas memperbaharui rekod 200 dan 400 meter (m) serta 400m lari berpagar manakala seorang lagi atlet SMK Matang Siti Azimah Shamsuddin muncul Atlet Terbaik Wanita B-18 dengan mengutip emas acara 100m, 400m serta 100m lari berpagar.

Pengurus SMK Matang Halizan Mat Yusof berkata, latihan berterusan dilakukan bermula peringkat awal dan kerjasama dengan Sekolah Sukan Negeri serta sentuhan jurulatih berpengalaman menjadi resipi utama kejayaan sekolahnya.

“Bagi saingan musim depan, kami sudah membariskan atlet pelapis untuk memastikan SMK Matang terus unggul mengekalkan juara keseluruhan,” katanya.

Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia Negeri Datuk Rozi Mamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 7:31 AM