Najib (kanan) mempengerusikan mesyuarat MPN di Bilik Jawatankuasa Parlimen hari ini.
Najib (kanan) mempengerusikan mesyuarat MPN di Bilik Jawatankuasa Parlimen hari ini.
Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Mesyuarat Majlis Perumahan Negara (MPN) sebentar tadi mengumumkan Skim pembiayaan deposit rumah pertama (MyDeposit) akan dilaksanakan mulai hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, skim itu bagi membantu golongan berpendapatan sederhana (M40) yang mempunyai pendapatan isi rumah antara RM3,000 hingga RM10,000.

Beliau berkata , pemberian sumbangan 10 peratus daripada harga jualan atau maksimum RM30,000(mana lebih rendah) kepada pembeli rumah pertama adalah untuk membantu mereka membeli rumah berharga RM500,000 ke bawah.

Katanya, permohonan boleh dibuat atas talian untuk skim ini mulai esok melalui laman web Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Pemberian 10 peratus daripada harga jualan atau maksimum RM30,000 (yang mana lebih rendah) adalah geran daripada kerajaan.

"Keduanya, mesyuarat juga memutuskan penjualan rumah berharga sehingga RM300,000 kepada hanya pembeli rumah pertama seperti diumum dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 akan mula dilaksanakan mulai bulan ini," katanya selepas menghadiri Mesyuarat MPN Siri 4, Bilangan 1 Tahun2016, di sini, di Parlimen sebentar tadi.

Menurut Najib, bagi menggalakkan pemaju swasta membina lebih banyak rumah berharga sehingga RM300,000, KPKT menetapkan beberapa insentif antaranya bagi rumah berharga RM300,000 ke bawah, nilai deposit kekal RM200,000 dan kadar semasa nilai deposit adalah tiga peratus daripada kos pembinaan.

"Bagi pembangunan bercampur, nilai deposit adalah berasaskan baki penjualan rumah berharga melebihi RM300,000.

"MPN juga mengambil maklum dua perkara iaitu status perlaksanaan sejuta rumah mampu milik menjelang 2018. Setakat 31 Disember sebanyak 17 peratus atau 183,755 unit rumah siap dibina, 19 peratus atau 214,011 unit sedang dalam pembinaan dan 28 peratus atau 309,571 unit dalam pelbagai peringkat perancangan," katanya.

Najib berkata, susulan Pengubahsuaian Bajet 2016, karnival rumah mampu milik akan mula dilaksanakan secara bersepadu antara agensi seperti Jabatan Perumahan Negara (JPN), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) serta pemaju swasta.

"Karnival ini akan dilaksanakan mengikut zon, iaitu bermula di Zon Tengah iaitu di MAEPS, Serdang pada Julai depan yang menawarkan lebih 50,000 rumah untuk dijual," katanya.

Pada majlis sama,beliau turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara PR1MA dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang membolehkan PR1MA membina sejumlah 786 unit kediaman di tanah milik TNB di Kajang, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 10:10 PM