Anggota bomba dan penduduk kampung melakukan pencarian lelaki yang hilang petang tadi. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba dan penduduk kampung melakukan pencarian lelaki yang hilang petang tadi. FOTO ihsan bomba
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

Santubong: Lelaki berusia 34 tahun hilang dikhuatiri tersesat ketika berehat di pulau berhampiran Teluk Angkang di Taman Negara Bako di sini, petang tadi.

Rizal Kadir, gagal dijejaki selepas ditinggalkan di sebuah pulau kira-kira jam 12 tengah hari, tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Kuching Tiong Ling Hii berkata, adik mangsa mendakwa dia dan abangnya pergi memancing berhampiran Teluk Angkang.

Menurutnya, mangsa meminta supaya adiknya singgah di sebuah pulau berhampiran dan meninggalkannya di sana untuk berehat .

"Mangsa meminta adiknya datang semula ke pulau itu mengambilnya kira-kira sejam kemudian. Namun, sebaik adiknya datang ke pulau itu, mangsa sudah tiada.

"Adik mangsa mencari di sekitar pulau tetapi tidak menjumpai abangnya dan dia kemudian memaklumkan kepada penduduk kampung sebelum menghubungi talian kecemasan," katanya.

Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bako ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 4.40 petang.

"Penduduk kampung sudah mula membuat pencarian sejak 2 petang.

"Kesan tapak kaki menghala ke bukit ditemui dan kami cuba menjejak mangsa. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan dengan bantuan penduduk kampung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 8:37 PM