Sarah yakin program Clever Girl akan jadi program membanggakan. FOTO NSTP/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Sarah yakin program Clever Girl akan jadi program membanggakan. FOTO NSTP/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Syanty Octavia Amry


Kuala Lumpur: Peserta program realiti Clever Girl Malaysia Sarah Adibah Mohammed Yussof terbuka dengan tindakan segelintir pihak yang menghentam program berkenaan sebagai tidak ilmiah di media sosial.

Sarah, 26, berkata, sebagai salah-seorang peserta, dia menerima kritikan itu sebagai satu perkara yang membina untuk dia dan peserta lain memperbaiki supaya menjadi lebih baik lagi pada masa akan datang.

"Saya tidak boleh menghalang orang ramai untuk berkata perkara negatif mengenai program ini. Namun, sebagai peserta kami mengalami tekanan apabila ada yang tidak dapat membiasakan diri berdepan dengan program yang disiarkan secara langsung.

"Saya yakin semua peserta gementar sehingga ada yang hilang fokus dan tersalah menjawab soalan walaupun soalan yang diberikan kadang-kadang mudah," kata peserta berasal dari Sabah itu.

Terdahulu, Clever Girl Malaysia yang ditayangkan sejak lima minggu lalu di TV3 dikecam termasuk 14 peserta dikatakan tidak memiliki tahap IQ tinggi apabila gagal menjawab soalan-soalan mudah.

Program itu juga didakwa tidak kena dengan judulnya iaitu ‘clever’ apabila memberi soalan-soalan mudah dan tidak mencabar kepada peserta.

Sarah berkata, dia tetap yakin program berkenaan akan menjadi program yang membanggakan satu hari nanti.

Setakat ini, Sarah antara peserta paling menyerlah apabila menjadi pemenang mingguan selama tiga minggu berturut-turut.

Menerusi kemenangan itu Sarah menerima RM1,000 dan satu imuniti yang melayakkannya kekal pada minggu depan biarpun gagal menjawab soalan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 8:09 PM