MUKHRIZ (kiri) bersama Izham Yusoff (kanan) melihat model rumah di majlis pelancaran Darulaman Perdana.
MUKHRIZ (kiri) bersama Izham Yusoff (kanan) melihat model rumah di majlis pelancaran Darulaman Perdana.
Oleh Omar Osman


Sungai Petani : Berkonsepkan kehidupan penuh bergaya dengan ciri reka bentuk kontemporari dan menarik, syarikat pemaju hartanah Darulaman Realty Sdn Bhd (Darulaman Realty) sentiasa komited bahawa projek Darulaman Perdana mampu memenuhi kehendak mereka yang mencari kediaman baru.

Terletak di kawasan strategik iaitu di pinggir Bandar Sungai Petani, projek berkenaan yang dipecahkan kepada tiga peringkat iaitu Darulaman Timur, Tengah dan Barat dibina di atas tanah seluas 170.7 hektar bakal mempunyai 2,655 unit kediaman bercampur termasuk rumah mampu milik menjelang 2020 kelak.

Pengarah Urusan Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Datuk Izham Yusoff berkata, sebagai permulaan projek bernilai RM761 juta itu akan bermula dengan Fasa Pertama membabitkan sejumlah 128 unit kediaman.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 56 unit rumah berkembar setingkat (Emerald 2), 56 rumah teres dua tingkat (Amber) dan 10 rumah berkembar dua tingkat jenis Jade yang dilancarkan dengan tawaran harga bermula dari RM294,500 dengan sasaran jualan mencecah RM50 juta.

“Darulaman Perdana akan dibangunkan secara terancang dengan kehidupan penuh gaya berkonsepkan ‘Ultimate Living in Style’, bukan sahaja sebagai kawasan perumahan, malah dilengkapi pelbagai kemudahan lain.

“Malah, projek Darulaman Perdana akan menjadi penanda aras syarikat yang bukan sahaja menawarkan pembelian hartanah, tetapi pakej gaya hidup dengan dilengkapi masjid dan sekolah yang menjadi keperluan kepada penghuni perumahan ini serta kawasan berhampiran,” katanya sempena majlis pelancaran Darulaman Perdana di Karnival Darulaman Realty oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, baru-baru ini.

Projek Darulaman Perdana sebenarnya dilancar pada 2004 lalu, namun ianya ditangguhkan pada 2009 bagi membolehkan Darulaman Realty memberi tumpuan membantu kerajaan negeri Kedah membina sejumlah 2,399 unit rumah di Darulaman Utara, Kuala Ketil di atas tanah seluas 445.1 hektar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:10 AM