Shamsul (dua dari kiri) pada sidang media pengumuman keputusan kewangan suku ketiga Petronas 2014.
Shamsul (dua dari kiri) pada sidang media pengumuman keputusan kewangan suku ketiga Petronas 2014.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kumpulan Petronas, bercadang mengurangkan pembayaran royalti, dividen dan cukainya kepada kerajaan jika harga minyak berada paras AS$70 hingga AS$75 setong tahun depan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas berkata, bagi tahun kewangan 2014, kumpulan akan meneruskan pembayaran seperti dalam perjanjian walaupun terdapat penurunan harga minyak pada suku keempat.

Beliau berkata, tahun ini pihaknya akan membayar RM68 bilion kepada kerajaan iaitu dengan pecahan berjumlah RM29 bilion untuk dividen, RM13 bilion (royalti) dan RM26 bilion (cukai).

“Bagi 2014, purata harga minyak setong adalah AS$106.57, rendah dua peratus berbanding 2013 dan disebabkan permintaan tenaga yang perlahan dan kenaikan bekalan minyak global, harga minyak didapati menurun pada suku keempat iaitu mencecah sehingga AS$70.69 setong setakat 27 November 2014.

“Jika trend harga minyak ini masih menurun tahun depan dan berada pada kadar AS$70 hingga AS$75 setong, kami akan mengurangkan pembayaran dividen, royalti dan cukai dengan anggaran sebanyak RM17 bilion, RM9 bilion dan RM17 bilion masing-masing,” katanya pada sidang media pengumuman keputusan kewangan suku ketiga Petronas di sini, semalam.

Menurutnya, kumpulan turut menyasarkan untuk mengurangkan jumlah perbelanjaan modal (Capex) antara 15 dan 20 peratus tahun depan jika harga minyak turun.

Beliau berkata, pihaknya juga mengunjurkan untuk kekal berada pada prestasi kewangan yang kukuh dan suku keempat pendapatan Kumpulan Petronas dijangka lebih rendah berbanding suku ketiga tahun ini.

Pendapatan kumpulan bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2014, meningkat sebanyak 7.0 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu didorong oleh jumlah pengeluaran minyak mentah yang tinggi dari kilang baru di Iraq dan Selatan Sudan.

Manakala untung sebelum cukai (PBT), untung selepas cukai (PAT) dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) meningkat kepada 2.0, 4.0 dan 6.0 peratus masing-masing.

Sementara itu, pendapatan bagi suku ketiga 2014 kumpulan menurun sebanyak satu peratus kepada RM80.4 bilion berbanding RM81.4 bilion tempoh yang sama tahun lalu, manakala PBT, PAT dan Ebitda turut mencatatkan penguncupan dengan 12, 12 dan 11 peratus masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:08 AM