LEBIH baik menukar awal tali sawat pemasaan.
LEBIH baik menukar awal tali sawat pemasaan.
Ahmad Salihin Abd Rahim


Saya memandu Perodua Viva. Berapa jarak yang perlu menukar tali sawat pemasaan, ini berikutan saya difaham­kan ada mengatakan 80,000 atau 100,000 kilometer.

Pada masa sama, berapa tahun jang­ka hayat alternator dan bagaimana tanda ia rosak?

Sementara itu, adakah baik sekiranya kerap membasuh enjin di kedai membasuh kereta supaya kelihatan bersih, tetapi apakah cecair yang digunakan bersifat asid atau sebaliknya?

KHAIRUL AFFENDY, Shah Alam, Selangor

Sebenarnya tidak salah untuk menukar lebih awal tali sawat pemasaan. Lebih-lebih lagi jika anda kerap memandu laju atau dalam bandar.

Ramai yang menyangka bahawa enjin dan komponen akan terbeban sekiranya memandu jarak jauh. Tetapi ia adalah sebaliknya kerana pemanduan dalam bandar dengan keadaan sesak akan lebih membebankan enjin kerana beroperasi dalam keadaan panas.

Pemanduan jarak jauh yang lancar akan mengurangkan bebanan enjin. Udara akan membantu menyejukkan radiator dan blok enjin.

Alternator sebenarnya sangat sukar mengalami kerosakan malah mampu bertahan sehingga hayat enjin itu.

Kerosakan alternator kerap berpunca akibat faktor luaran seperti tali sawat yang terlampau tegang atau longgar dan menyebabkan bebanan pada gegalas serta pasak pemasangan.

Gegalas yang rosak akan menyebabkan bunyi bising dan aci alternator tidak lagi berada pada keadaan sempurna.

Pastikan tali sawat tidak bergetar ketika enjin beroperasi kerana ia adalah satu tanda komponen berkenaan tidak berada dalam keadaan yang betul.

Bahan pencuci yang mampu membersihkan minyak dan gris adalah jenis kimia kuat, namun tidak diketahui bahan materialnya. Kurangkan membasuh enjin kecuali perlu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 5:00 AM