AYDA Jebat bersama penonton Konsert Ledakan 25 tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt di Setia City Park. FOTO Saifulizan Tamadi
AYDA Jebat bersama penonton Konsert Ledakan 25 tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt di Setia City Park. FOTO Saifulizan Tamadi
Mazizul Dani

Shah Alam: "Konsert malam ini sangat luar biasa dan jarang terjadi di Indonesia.

"Belum pernah penonton seperti ini sampai hujan lebat pun rela ke depan sama dan menunggu sehingga artis terakhir keluar membuat persembahan."

Itu kata vokalis kumpulan Papinka, Chevra Yolandi yang kagum dengan semangat lebih 35,000 penonton yang membanjiri Setia City Park @ Oval Lawn untuk menyaksikan Konsert Ledakan 25 tahun Harian Metro bersama Yeo's Yeogurt.

Kumpulan itu menghiburkan peminat dengan lagu Masih Mencintaimu dan Aku Masih Cinta.

"Malam yang istimewa buat Papinka malam ini kerana penonton yang hadir tetap setia bersama kami. Terima kasih kepada Harian Metro kerana menjemput kami," katanya.

Konsert berkenaan yang turut disiarkan menerusi Facebook (FB) Live dan ditonton lebih 220,000 pelayar laman sosial.

Dayang Nurfaizah yang menghangatkan pentas selepas konsert berehat kerana hujan turut menyatakan kekaguman sama.

"Sambutan yang Dayang rasa sangat menyeronokkan kerana mereka menyanyi bersama dengan Dayang.

"Walaupun dalam keadaan tidak selesa kerana hujan, mereka tetap beri sokongan dan tidak berganjak," katanya yang menyanyikan lagu Tak Pernah Menyerah dan Di Pintu Syurga.

Konsert dibuka dengan persembahan mantap kumpulan Nico G dengan lagu Inilah Nasibku dan Belia Perwira disertai penari Showdown dan pelakon filem berkenaan.

Tidak ketinggalan aura turut dirasai ketika penyanyi muda ini mengambil pentas apabila menerima sorakan yang kuat daripada penonton.

Siapa lagi kalau bukan penyanyi dan juga pelakon Ayda Jebat yang menyanyikan lagu Siapa Diriku dan Pencuri Hati.

Drama Band turut mencipta kelainan dengan menyelitkan unsur-unsur drama dalam persembahan mereka sebelum menyanyikan lagu Biarkanlah dan Cerita Dia.

Juara program Gegar Vaganza Siti Nordiana pula membawakan lagu Putus Terpaksa dengan penuh bertenaga diikuti lagu Memori Berkasih berduet dengan Syed Shamim.

Datuk Jamal Abdillah juga tidak mahu menghampakan peminat yang menunggu sejak petang dengan menyanyikan lagu Aku Penghibur dan Azura walaupun hujan.

Semangat penonton terus berkobar-kobar apabila Ratu Rock, Ella turut tampil membuat persembahan bertenaga dengan lagu Dua Insan Bercinta dan Permata Biru.

Paling mengejutkan lagenda rock Amy SEARCH turut menghadiahkan tiket konsertnya yang akan berlangsung pada 9 April depan di Stadium Merdeka kepada dua peminat bertuahnya.

Amy membawakan dua lagu iaitu Kerja Gila dan Isabella yang dinyanyikannya bersama peminat.

Tirai konsert ditutup juga dengan lagu bergenre rock oleh kumpulan XPDC dengan lagu Teman, Semangat Yang Hilang dan Sakinah.

Mereka turut memberi kelainan apabila tampil membuat persembahan dengan berjubah.

Artis lain yang turut memeriahkan konsert ialah Shiha Zikir, Ronnie Husin, Ezad Lazim dan Tasha Manshahar yang juga berduet dengan Syed Shamim.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar turut menghargai kesetiaan penonton dan pembaca akhbar itu yang tetap menunggu sehingga konsert berakhir.

"Persembahan yang cukup menarik dan terima kasih kepada penonton yang datang dari kawasan Klang, Meru kerana memberi sokongan kepada kami. Walaupun hujan mereka tetaptak berganjak.

“Harian Metro cipta rekod baru apabila mengadakan konsert sehingga kira-kira 1 pagi, dan penonton masih setia bersama kami. Terima kasih kepada semua artis," katanya.

Konsert turut dimeriahkan dengan persembahan bunga api selama lima minit.

Pada pertengahan konsert berkenaan, ulangtahun ke 25 Harian Metro ini diraikan dengan upacara memotong kek yang bersaiz satu meter kali setengah meter.

Uniknya kek ini mempunyai lapan perisa iaitu oren, onde-onde, kelapa, teh tarik, mocha, red velvet, victoria sandwich dan krim keju seberat 46 kilogram (kg).

Membariskan keseluruhan 14 penyanyi hebat, penonton dihiburkan dengan 26 lagu popular pelbagai genre.

Bekas pemain gitar kumpulan Exist, Along, diberi tanggung­jawab sebagai pengarah muzik bagi konsert ini untuk 10 persembahan penyanyi solo yang merangkumi 20 lagu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 2:04 AM