Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menganjurkan peraduan Jom Minta Resit GST- Resit Anda Hak Anda bermula esok hingga 31 Julai terbuka kepada rakyat Malaysia sekali gus berpeluang merebut hadiah menarik menerusi cabutan bertuah pada setiap bulan.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, kempen berkenaan diadakan secara dalam talian dan pengguna hanya perlu mengambil gambar resit serta menghantarnya dan masuk adalah percuma.

Menurutnya, resit boleh dihantar menerusi laman web www.myresitgst.com.my dan peserta perlu mengisi maklumat peribadi, resit atau invois lengkap serta memuat naik gambar pada borang penyertaan.

"Bagi pengguna Android boleh memuat turun aplikasi mudah alih MyResitGST secara percuma dari Playstore manakala, AppsStore untuk pengguna iOS.

"Caranya sama iaitu pengguna perlu mengisi maklumat resit atau invois lengkap dan memuat naik gambar pada borang penyertaan," katanya pada pelancaran program pemberian insentif kepada pengguna untuk meminta invois bercukai - jom minta resit GST di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, antara hadiah ditawarkan ialah motosikal jenama tempatan, telefon pintar, tablet, barangan elektrik dan baucer pembelian.

Katanya, pemenang akan dimaklumkan melalui telefon, laman weg, aplikasi mudah alih MyResitGST.

Muat turun aplikasi MyResitGST bagi pengguna Android boleh dibuat sekarang, lima hari bekerja bagi pengguna iOS manakala laman web www.myresitgst.com.my boleh dilayari esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 12:48 PM