SHAFIE Ismail melupuskan barang kes narkotik. FOTO Eizairi Shamsudin
SHAFIE Ismail melupuskan barang kes narkotik. FOTO Eizairi Shamsudin
Aizat Sharif


Padang Besar: Sebanyak 2,950 kilogram bungkusan daun ketum bernilai RM108,896 yang dirampas oleh polis dari 2009 hingga tahun lalu dilupuskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, di sini, hari ini.

Bungkusan daun ketum itu adalah antara sebilangan besar barang kes siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Perlis membabitkan penyeludupan atau pemilikan dadah yang berjaya diselesaikan dalam enam tahun itu.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Shafie Ismail berkata, segala barang kes yang dilupuskan itu sudah mendapat status selesai oleh mahkamah.

“Kertas siasatan jenayah narkotik dari 2009 hingga tahun lalu yang sudah diberi status selesai oleh mahkamah ialah 297 kes dan 118 daripadanya membabitkan jenayah di bawah Akta Racun 1952 seperti mengedar dan menjual daun serta air ketu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelupusan Barang Kes JSJN IPD Padang Besar, pagi tadi.

Tambahnya lagi, baki 179 kes pula membabitkan rampasan pengedaran dadah seperti heroin, syabu, ketamin, ganja dan ubat batuk yang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“œJumlah keseluruhan termasuk dadah dan ketum yang dilupuskan adalah dianggarkan bernilai RM125,000 mengikut nilai dadah semasa,” katanya.

Beliau berkata, rampasan daun, air dan serbuk ketum sering menjadi rampasan paling tinggi berbanding dadah yang lain disebabkan permintaan yang banyak dari negara jiran, Thailand serta mudah didapati di beberapa tempat di negeri ini.

Dalam majlis berkenaan juga, daun ketum yang sudah kering dan tidak boleh digunakan lagi itu dilupuskan dengan ditanam di suatu kawasan lapang di IPD Padang Besar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 6:28 PM