DR WAN Azman (kanan sekali) ketika menjalankan pembedahan angioplasti seorang pesakit sambil dibantu pakar kardiologi lain.
DR WAN Azman (kanan sekali) ketika menjalankan pembedahan angioplasti seorang pesakit sambil dibantu pakar kardiologi lain.
ZAITOON (dua dari kiri), Prof Mohd Amin, Prof Dr Tunku Kamarul Zaman dan Dr Wan Azman pada majlis penyerahan sumbangan.
ZAITOON (dua dari kiri), Prof Mohd Amin, Prof Dr Tunku Kamarul Zaman dan Dr Wan Azman pada majlis penyerahan sumbangan.
Faizatul Farlin Farush Khan


Penyakit jantung koronari (CHD) terus menjadi antara penyebab utama kematian di seluruh dunia dan di Malaysia saja, sebanyak 25 peratus daripada populasi meninggal dunia akibat penyakit kardiovaskular itu setiap tahun.

Menurut perangkaan dikeluarkan Pangkalan Data Kardiovaskular Kebangsaan (NCVD), purata usia pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat sakit jantung adalah 59 tahun iaitu tujuh tahun lebih muda daripada usia purata yang dicatat oleh Pendaftaran Global Peristiwa Koronari Akut (Grace).

Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) melaporkan seramai 25 peratus pesakit mengalami serangan jantung akut berusia di bawah 50 tahun. Kebanyakan mereka masih aktif bekerja ataupun menghampiri usia bersara dan sudah berkeluarga.

Pesakit terbabit memerlukan prosedur angioplasti koronari bagi membuka arteri yang tersumbat. Pakar bedah akan memasukkan alat dipanggil kateter yang mempunyai belon kecil di hujungnya. Apabila kateter ini sampai ke bahagian yang tersumbat, belon berkenaan akan dikembungkan bagi menekan plak (yang menyebabkan salur darah tersumbat) ke dinding salur darah. Kemudian alat yang dikenali sebagai stent akan diletakkan di sini untuk membantu salur darah terus terbuka dan darah dapat mengalir seperti biasa.

Rawatan itu terbukti sudah banyak menyelamatkan nyawa dan melindungi daripada kerosakan jantung dengan kadar kejayaan sebanyak 96.6 peratus.

Bagaimanapun, ia adalah prosedur yang menelan perbelanjaan besar dan rawatannya boleh mencecah RM30,000 dan bukan semua orang mampu menjalaninya.

Bagi kebanyakan orang, rawatan ini meletakkan mereka dalam beban kewangan, apatah lagi sekiranya tiada perlindungan insurans.

Menyedari situasi itu, PPUM dan Yayasan Sime Darby (YSD) menjalinkan kerjasama sejak Mei 2013 selama tiga tahun menerusi dana berjumlah RM2 juta daripada Tabung YSD untuk pesakit koronari tidak berkemampuan.

Inisiatif itu diterajui pakar kardiologi, Prof Datuk Paduka Dr Wan Azman Wan Ahmad yang berjaya membantu memulihkan 306 pesakit di seluruh negara menerusi hasil sumbangan daripada tabung berkenaan.

Berdasarkan pencapaian serta komitmen yang ditunjukkan PPUM dalam menguruskan sumbangan dana itu, YSD setuju memanjangkan tempoh kepada dua tahun lagi iaitu sehingga 2018 dengan menghulurkan sumbangan tambahan sebanyak RM2 juta.

Pentadbir Ahli Majlis YSD, Datin Paduka Zaitoon Othman memuji rawatan dengan kos minimum yang dijalankan di PPUM, selain inisiatif dan program yang diusahakan pusat perubatan itu.

“PPUM mempunyai inisiatif untuk memberikan rawatan angioplasti bersubsidi kepada pesakit yang tidak mampu dan membina kapasiti dalam kalangan doktor pelatih, selain mewujudkan rangkaian dengan pusat perubatan lain.

“Ini terbukti melalui penubuhan rangkaian ‘My ST-Elevation Myocardial Infarction’ (MySTEMI) sejak Julai 2015 yang dibangunkan Dr Wan Azman sendiri.

“My STEMI membolehkan pesakit kurang mampu dari hospital kerajaan lain dirujuk kepada PPUM untuk rawatan kecemasan angioplasti koronari. Ini secara tidak langsung menghubungkan hospital yang tidak memiliki teknologi mencukupi atau pakar kardiologi untuk menjalankan rawatan itu,” katanya pada acara pemberian replika cek di PPUM, baru-baru ini.

Pada majlis itu juga, media diberi peluang sekali seumur hidup untuk melihat sendiri secara langsung pembedahan angioplasti yang dijalankan selama 45 minit.

Turut hadir, Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Datuk Mohd Amin Jalaludin, Ketua Pegawai Eksekutif YSD, Yatela Zainal Abidin, Dekan Fakulti Perubatan PPUM, Prof Adeeba Kamaruzaman dan Pengarah PPUM, YM Prof Dr Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin.

Menurut Dr Wan Azman, melalui sokongan YSD sejak dua tahun lalu, laluan yang ditempuh pasukan PPUM mempunyai makna yang mendalam kerana dapat membantu menyelamatkan lebih 300 nyawa.

“Dengan sokongan ditunjukkan YSD, ia mampu memberi impak bukan saja kepada satu atau dua pesakit, sebaliknya lebih menyeluruh. Saya sangat berharap program ini akan memberi inspirasi kepada organisasi lain untuk me­ngikut langkah ditunjukkan YSD, seterusnya membuka peluang rawatan kepada lebih ramai pesakit yang memerlukan bantuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2016 @ 12:24 PM