ANGGOTA perubatan membawa Sheikh Aaidh yang cedera ke sebuah hospital di Zamboanga.
ANGGOTA perubatan membawa Sheikh Aaidh yang cedera ke sebuah hospital di Zamboanga.
Agensi

Manila: Seorang ulama Arab Saudi dan pegawai kedutaan negara itu cedera selepas ditembak seorang lelaki ketika melawat sebuah universiti di bandar Zamboanga, selatan Filipina lewat kelmarin, kata polis.

Jurucakap polis, Helen Limen Galvez berkata, ketika kejadian Sheikh Aaidh Al-Qarni dan pegawai kedutaan Arab Saudi, Turki Assaegh baru menaiki kereta untuk meninggalkan Universiti Negeri Barat Mindanao selepas menyampaikan satu ceramah di sana.

Katanya, tiba-tiba seorang lelaki menghampiri kenderaan itu dan terus menembak Sheikh Aaidh sebelum berjalan ke sebelah kereta untuk menembak Turki pula.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke hospital dan disahkan tidak mengalami kecederaan yang mengancam nyawa.

“Sheikh Aaidh terkena tembakan di bahu, lengan kiri dan dada manakala Turki cedera di paha kanan dan di kaki kiri,” katanya.

Menurutnya, anggota keselamatan di lokasi itu berjaya menembak mati penyerang berkenaan.

“Pasukan penyiasat menemui sepucuk pistol dan sebuah motosikal yang dipercayai digunakan penyerang.

“Polis juga menahan dua suspek yang dilihat bersama penyerang dan cuba melarikan diri selepas kejadian,” jelasnya.

Polis Filipina masih belum menyatakan motif serangan berkenaan tetapi beberapa penganalisis keselamatan memberitahu ia mungkin mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Daish.

Sheikh Aaidh adalah antara ulama berpengaruh Arab Saudi dan berada dalam senarai individu yang mahu dibunuh Daish.

Militan Daish yang menguasai sebahagian Iraq dan Syria menyeru pengikutnya menyerang Sheikh Aaidh dan beberapa ulama lain kerana menentang Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 7:02 AM