BOMBA berjaya mengawal kebakaran dan operasi ditamatkan jam 11 pagi tadi. FOTO ihsan Bomba
BOMBA berjaya mengawal kebakaran dan operasi ditamatkan jam 11 pagi tadi. FOTO ihsan Bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Kebakaran hutan di kawasan berbukit seluas 10 hektar di kilometer 45, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands berdekatan Kampung Raja, Cameron Highlands, semalam, berjaya dipadamkan sepenuhnya pagi tadi.

Dalam kejadian 1.47 petang semalam, Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai menerima panggilan kebakaran itu sebelum anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk mengawal api daripada merebak.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Rozmi Che Hamat berkata, kebakaran hutan berkenaan sudah berjaya dikawal malam semalam namun pihaknya melakukan pemantauan pagi ini bagi memastikan tiada lagi api yang merebak.

Katanya, seramai 12 anggota bomba melakukan kerja-kerja pemadaman kawasan kebakaran yang dianggarkan seluas 10 hektar itu dengan bantuan tujuh orang asli dan berjaya mengawal kebakaran itu kira-kira 9 malam semalam.

"Kami kembali ke lokasi kejadian pagi ini dan mendapati tiada lagi api yang merebak sebelum operasi ditamatkan pada 11 pagi.

"Pihak bomba menggunakan jentera Fire Resque Tender (FRT) Simpang Pulai, satu jentera 'water tanker' Simpang Pulai dan satu dari Ipoh serta van EMRS Simpang Pulai bagi memadamkan keseluruhan kawasan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 1:37 PM