KUMAR (tengah) menunjukkan senjata pemburu yang dirampas. FOTO Mohd Sah Muda
KUMAR (tengah) menunjukkan senjata pemburu yang dirampas. FOTO Mohd Sah Muda
Mohd Sah Muda

Mersing: Tiga pemburu haram ditahan polis bersama 10 pelanduk serta senapang patah buatan sendiri dalam serbuan di Hutan Simpan Lenggor, Jemaluang, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintenden M Kumar berkata, lelaki berumur 34 hingga 50 tahun itu ditahan selepas gagal melarikan diri walaupun merempuh kenderaan pacuan empat roda dinaiki anggota serbuan pada 2 pagi itu.

Katanya, serbuan dilakukan anggota polis daerah ini bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) selepas mendapat maklumat berhubung kegiatan pemburuan haram di hutan simpan berkenaan.

"Ketika masuk ke lokasi yang dimaksudkan, kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dinaiki pihak berkuasa terserempak dengan Perodua Kembara yang dinaiki empat lelaki.

"Pemandu Perodua Kembara terbabit merempuh kenderaan pihak berkuasa dalam usaha untuk melarikan diri. Bagaimanapun, tiga daripada mereka ditangkap manakala seorang lagi meloloskan diri," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Kumar berkata, pemeriksaan menemui senapang patah buatan sendiri dengan 44 peluru hidup, peralatan pemburu termasuk parang, kapak, lampu suluh dan pisau serta 10 pelandok hasil buruan.

"Suspek ditahan membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Sernjatapi 1960 dan menghalang tugas penjawat awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 8:17 PM