Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Penuntuk Institut Latihan Perindustrian (ILP) maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 269.1 lebuhraya PLUS arah selatan, dekat Bandar Ainsdale, di sini.

Muhammad Naimullah Ahmad Zulkepli, 24, yang menunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian pada kejadian kira-kira 5 petang.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor sebelum melanggar belakang Perodua Viva yang berhenti di lorong kecemasan.

"Rempuhan itu mengakibatkan mangsa terjatuh di lorong kiri lebuh raya dan kemudian dirempuh sebuah pacuan empat roda yang tidak sempat mengelak,” katanya.

Muhamad Zaki berkata, siasatan di lokasi mendapati Perodua Viva berhenti di lorong kecemasan akibat tayar bocor tanpa meletakkan kon.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 12:01 AM