myMetro

Kuala Lumpur: Malaysia mengintai peluang untuk menganjurkan Piala AFF tahun ini susulan keputusan Filipina menarik diri menjadi tuan rumah bersama Myanmar.

Bagaimanapun hasrat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu perlu dipertimbangkan oleh Persekutuan Bolasepak Asean memandangkan Singapura dan Vietnam yang menjadi tuan rumah bersama dua tahun lalu turut menyatakan minat.

Menurut Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) Datuk Azzuddin Ahmad (gambar), Filipina terpaksa menarik diri daripada menjadi penganjur kejohanan bola sepak berprestij di rantau ini berikutan masalah venue pertandingan.

“Untuk menjadi penganjur kejohanan Piala AFF, perlu menyediakan kontrak dengan pihak pengurusan stadium yang bakal digunakan sebagai venue nanti.

“Dalam kes ini, Persekutuan Bolasepak Filipina (PFF) gagal menyelesaikannya walaupun sudah diberi tempoh lanjutan sebanyak tiga kali jadi mereka terpaksa menarik diri.

“Selepas ketiadaan Filipina, Malaysia, Singapura dan Vietnam menyatakan kesediaan untuk menjadi pengganti pada mesyuarat Majlis AFF di Sydney Disember lalu,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Sejak kejohanan ini diperkenalkan dengan nama Piala Tiger pada 1996 sebelum ditukar kepada Piala AFF pada 2007, Malaysia sudah menjadi tuan rumah pada edisi 2004 bersama Vietnam dan Thailand pada 2012.

Skuad Harimau Malaysia muncul juara pada 2010 ketika dibimbing Datuk K Rajagobal dan pada edisi terakhir dua tahun lalu, anak buah Dollah Salleh tewas di pentas final kepada Thailand menerusi agregat 3-4.

Azzuddin berkata, AFF akan mengadakan mesyuarat pada 12 Mac depan untuk memutuskan negara yang bakal menjadi tuan rumah bersama Myanmar hujung tahun ini.

“Kami akan mencari negara pengganti kerana belum pernah kejohanan ini dianjurkan oleh satu negara saja. Saya tidak boleh komen mengenai peluang Malaysia kerana pihak sekretariat tidak terbabit dalam membuat keputusan yang bakal diumumkan pada 12 Mac depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 8:15 AM