REMY.
REMY.
Oleh Nor Akmar Samudin


Pelakon popular Remy Ishak, 34, mengaku tidak mengenali naskhah Cindua Mato kerana sebagai rakyat negara ini, sudah semestinya dia lebih banyak mengkaji sejarah tanah air sendiri.

Namun ketika berkunjung ke Istana Budaya (IB) Kuala Lumpur, baru-baru ini dan bertemu dengan Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani dan pengarah Lokman Ghani, dia terpandangkan naskhah itu dan langsung bertanya kepada Lokman kerana apa yang dilihatnya ketika itu begitu menarik minatnya.

Cindua Mato yang menjadi kebanggaan masyarakat Minangkabau yang berasal dari Sumatera Barat terutama di Pagar Ruyong adalah suatu cerita yang menarik untuk dikaji dan dihayati.

Ini kerana di situlah terkandung susur galur dan adat budaya masyarakat Minangkabau yang berhijrah ke negara ini dan kebanyakannya menjadikan Negeri Sembilan sebagai ‘tanah air’ mereka yang baru.

Menerusi masyarakat itu wujudnya Adat Perpatih yang diasaskan seorang pemimpin Minangkabau bernama Sutan Balun yang bergelar Datuk Perpatih Nan Sebatang.

Meronta-ronta hati Remy untuk mengenali lebih lanjut naskhah itu. Malah, dia sanggup menolak beberapa tawaran berlakon drama dan filem semata-mata mahu terbabit dalam pementasan muzikal Randai Cindua Mato.

Pementasan Randai Cindua Mato yang berlangsung pada 25 hingga 27 Mac ini dibawakan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama IB yang juga bertujuan memastikan kelangsungan kesenian Randai dalam masyarakat moden.

“Saya amat berbesar hati dapat turut serta dalam pementasan ini dan latihan dimulakan awal bulan depan. Walaupun saya sangat teruja membawakan watak Cindua Mato iaitu nama seorang figura yang menjadi kebanggaan masyarakat Minangkabau, tetapi saya agak gementar untuk menyanyi secara langsung di pentas nanti.

“Memang saya pernah menyanyi pada pementasan teater berjudul Sekuntum Mawar Merah tahun lalu, tetapi kali ini lain kerana seni kata lagunya dalam bahasa Minangkabau. Setakat ini, saya hanya menghafal dan mengingati seni katanya, tetapi belum dapat menghayatinya,”katanya.

Remy berkata, lama dia menunggu untuk mendapatkan naskhah sebaik itu. Jadi, apabila peluang terbentang di depan mata, tiada apa yang dapat menggugat keputusannya untuk menjayakan Randai Cindua Mato.

“Kini tumpuan saya hanya untuk pementasan ini dan saya berusaha untuk ‘menghadam’ naskhah itu agar mereka yang datang ke IB nanti dapat merasakan orang yang mereka lihat di pentas ialah ‘Cindua Mato’ dan bukannya Remy Ishak,” katanya.

Remy boleh menyanyi dan bersilat

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli terpaut hati untuk mengambil Remy menerajui teater itu kerana pelakon itu boleh menyanyi dan bersilat.

Menurut Norliza, ciri kepahlawanan itulah yang perlu ada pada setiap lelaki Minangkabau yang tangkas beraksi dan cergas sifatnya.

“Cindua Mato adalah teks yang amat besar di Minangkabau. Namun, ketika berhijrah ke sini mereka hanya membawa bersama Adat Perpatih dan meninggalkan teks itu di sana yang sebenarnya menjadi lambang kepada masyarakat itu.

“JKKN bawakan teks ini ke sini kerana ia bersesuaian dengan kedudukan Tanah Melayu sebagai tempat pertemuan pelbagai bangsa dan elemen budaya,” katanya.

Selain Remy, turut berlakon dalam pementasan itu ialah Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Ashraf Muslim, Ebby Yus, Juhara Ayob, Puteri Aishah, Vanidah Imran, Zuhairi Ibrahim dan ramai lagi.

Maklumat lanjut mengenai tiket, sila layari airasiaredtix.com.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 11:21 AM