SITI Fadilah (dua dari kanan) bersama kakitangan IRM di depan ibu pejabat IRM dan Charity Shoppe.
SITI Fadilah (dua dari kanan) bersama kakitangan IRM di depan ibu pejabat IRM dan Charity Shoppe.
KAKITANGAN dan sukarelawan banyak membantu operasi Charity Shoppe.
KAKITANGAN dan sukarelawan banyak membantu operasi Charity Shoppe.
TABUNG amal diletak di depan kedai untuk memudahkan orang ramai menderma.
TABUNG amal diletak di depan kedai untuk memudahkan orang ramai menderma.
KOLEKSI edisi pengumpul anak patung Barbie turut didermakan.
KOLEKSI edisi pengumpul anak patung Barbie turut didermakan.
SITI Fadilah melayan pelanggan yang datang membeli.
SITI Fadilah melayan pelanggan yang datang membeli.
SITI Fadilah menyusun barangan yang dipamerkan di kedai.
SITI Fadilah menyusun barangan yang dipamerkan di kedai.
ANTARA barangan hiasan yang didermakan.
ANTARA barangan hiasan yang didermakan.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Bersedekah dalam Islam satu amalan mulia yang pasti menanti ganjaran pahala buat orang yang melakukannya. Tidak terhad dengan wang ringgit saja, menderma barangan terpakai milik peribadi untuk tujuan amal pun satu amalan yang murni.

Apatah lagi jika barangan terpakai yang didermakan dapat menjana pendapatan untuk disalurkan semula kepada mereka yang memerlukan. Maka kedua-dua pihak iaitu yang menderma dan membeli sama-sama dapat ganjarannya.

Kedai kebajikan milik Islamic Relief Malaysia (IRM), Charity Shoppe IRM boleh dikatakan sebagai ‘pintu gerbang’ buat mereka yang mahu bersedekah. Ini kerana, penubuhan kedai itu ibarat serampang dua mata iaitu platform untuk orang ramai menyumbang barangan terpakai dan pada masa sama masyarakat dapat membeli sambil menderma kerana 100 peratus hasil jualan disalurkan terus kepada tabung IRM.

Pengurus Kanan Bahagian Pengumpulan Dana IRM, Siti Fadilah Mohd Hood berkata, Charity Shoppe berkonsepkan kedai menjual barangan terpakai dengan harga rendah dan berpatutan untuk tujuan kebajikan.

Katanya, semua barangan yang dijual di situ adalah sumbangan orang ramai tidak mengira bangsa dan agama. Ini kerana ia sejajar dengan hala tuju Islamic Relief (IR) dan IRM yang mahu mewujudkan dunia prihatin di mana insan saling membantu tanpa prejudis. Semua barangan itu dijual semula bagi mendapatkan wang tunai untuk didermakan.

“Barang sumbangan ini ditukarkan menjadi wang tunai kerana ia lebih mudah digunakan untuk tujuan amal. Kalau sekadar sumbangan pakaian biasanya bukan semua orang memerlukannya.

“Pada masa sama, orang ramai dapat membeli pakaian yang didermakan dengan harga lebih murah lebih-lebih lagi buat mereka yang berpendapatan rendah. Mereka dapat membeli barangan yang masih baik, pada masa sama dapat melakukan sesuatu yang mulia,” katanya.

Menurutnya, Charity Shoppe juga diumpamakan seperti pintu gerbang untuk orang ramai mengenali organisasi IR dan IRM serta aktiviti kemanusiaan, dunia kesukarelawanan dan kebajikan anjuran IRM.

Barangan yang diderma juga akan digunakan sebagai stok barangan bantuan kecemasan yang diberi kepada mangsa bencana seperti kebakaran, banjir dan sebagainya.

Antara barangan yang boleh didapati dan disumbangkan ke Charity Shoppe adalah pakaian, pelbagai jenis beg, peralatan dapur, peralatan elektrik, permainan kanak-kanak, buku dan majalah, malahan aksesori wanita dan lelaki.

Katanya, menggunakan semula barangan terpakai adalah usaha murni kerana ia mengurangkan sampah serta membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk berjimat.

Siti Fadilah berkata, konsep yang diamalkan IRM bukanlah perkara baru dalam masyarakat di negara ini, namun pendedahan dan penerimaan masyarakat tempatan masih kurang berbanding di Eropah di mana konsep ini sudah lama diguna pakai dalam kehidupan seharian mereka.

Selain di premis Charity Shoppe yang terletak di Bandar Baru Bangi, kedai jualan barangan terpakai ini juga ada di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau Masjid Besi bagi memudahkan orang ramai di sekitar Putrajaya dan kawasan berdekatan membelinya.

Ramai sumbangkan barang baru

Selain itu, keprihatinan masyarakat tempatan juga harus dipuji kerana kebanyakan barang yang didermakan masih baik. Malah, ada juga barangan baru turut didermakan.

Usaha murni itu secara tidak langsung dapat mengelakkan pembaziran dan menyumbang kepada ganjaran pahala, sekali gus menjadi saluran terbaik bagi orang ramai beramal dengan cara yang mudah.

Adakalanya syarikat terkemuka, kompleks beli-belah, gudang pakaian dan peniaga dalam talian juga mendermakan produk dan barang baru ke Charity Shoppe untuk tujuan itu.

Barang yang didermakan akan diasingkan dan ditapis terlebih dulu mengikut keadaan supaya hanya yang berkualiti saja dijual.

“Ada juga barangan yang didermakan terdiri daripada koleksi pengumpul atau edisi terhad serta barangan dari luar negara. Memang biasanya pelanggan tetap ternanti-nanti koleksi seperti ini di Charity Shoppe kerana kami menerima sumbangan baru hampir setiap hari,” katanya.

Bagaimanapun katanya, ada juga penderma sanggup menyumbangkan barangan baru yang belum digunakan.

Antara barangan popular yang kerap menjadi minat orang ramai adalah perabot, barangan elektronik dan pakaian seperti baju-T dan pakaian kanak-kanak.

Harga yang dijual di Charity Shoppe juga adalah rendah dan berpatutan memandangkan ia hasil sumbangan orang ramai.

“Sekiranya pelanggan bertuah, mereka dapat membeli barangan berjenama yang masih dalam keadaan baik. Ini kerana kita menerima pelbagai bentuk sumbangan sama ada yang terpakai atau masih lagi baru daripada individu dan syarikat.

“Di Charity Shoppe juga terdapat baju kulit, bulu atau kot yang sesuai untuk dipakai oleh mereka yang mahu ke negara beriklim dingin.

“Harga baju ini dijual dengan harga yang murah jika dibandingkan dengan kedai lain. Bagi mereka yang tidak gemar membazir, mungkin kedai ini adalah pilihan tepat buat mereka.

“Faktor harga dan keadaan barangan yang baik antara sebab mengapa orang ramai terdiri daripada segenap lapisan masyarakat sering ke sini,” katanya.

Selain dibuka setiap hari Selasa hingga Sabtu dari 10 pagi hingga 7 malam, Charity Shoppe turut menganjurkan jualan but kereta pada hari Ahad terakhir setiap bulan di depan premis itu.

Katanya, sejak dibuka pada April 2012, ia mendapat sambutan memberangsang­kan daripada penderma, malah ketika musim puncak seperti hari perayaan, kedai itu menerima lambakan barangan yang didermakan.

Beliau tidak menafikan ketika awal penubuhan, hanya 30 peratus barangan diterima yang layak dijual semula manakala selebihnya langsung tidak boleh digunakan lagi.

Katanya, selama tempoh itu mereka giat menjalankan kempen kesedaran mengenai kualiti barangan yang ingin didermakan. Ternyata ia membuka minda masyarakat dan hasilnya saban tahun mereka menerima sumbangan barangan yang semakin baik kualitinya dan memudahkan tugas sukarelawan untuk membuat tapisan.

“Pada awal pembukaan Charity Shoppe oleh Pengurus, Datin Norelan Ismail, kami tertanya-tanya juga penerimaan masyarakat terhadap konsep pertama kali yang dibawa oleh IRM ini. Alhamdulillah, terbukti masyarakat negara ini memang pemurah dan sanggup menderma barangan yang mereka sayangi.

“Kami juga merasakan meminta sumbangan dalam bentuk barangan lebih mudah daripada duit. Justeru, kami memang selalu tekankan dan didik masyarakat bersedekah itu tidak semestinya dengan duit. Ada banyak cara untuk bersedekah, antaranya dengan mendermakan barangan disayangi yang tidak lagi diperlukan,” katanya.

Bagi yang ingin memberi sumbangan atau membeli sambil beramal bolehlah berkunjung ke premis Charity Shoppe IRM di A-05-1, Paragon Point, Jalan Medan PB5, Seksyen 9, Pusat Bandar Bandar Baru Bangi, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 10:42 AM