MENANG kategori Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak adalah pencapaian terbesar Edry.
MENANG kategori Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak adalah pencapaian terbesar Edry.
BERSAMA kumpulan Mojo.
BERSAMA kumpulan Mojo.

Hampir lima tahun nama Edry Abdul Halim tersenarai dalam kelompok tiga teratas kategori Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak bersama komposer terkenal, Datuk M Nasir dan Saari Amri dalam anugerah tahunan anjuran Badan Pelindung Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP).

Setiap tahun, dia terpaksa 'tunduk' dengan M Nasir yang lebih dikenali dengan panggilan sifu dalam industri muzik tempatan.

Pun begitu, anggota bongsu dalam trio KRU ini tidak pernah patah semangat dan terus berusaha menghasilkan karya yang menyengat sepertimana dibuktikan menerusi nyanyian Anuar Zain, Jaclyn Victor dan kumpulan Mojo.

Hasil kerja keras itu berbaloi apabila Edry akhirnya dinobatkan sebagai pemenang kategori ini, sekali gus memecah dominasi 14 tahun M Nasir pada majlis Malam Ulang Tahun Jubli Perak MACP 2014 di sebuah hotel di ibu kota, Ahad lalu.

Ikuti temu bual wartawan RAP, Ridzuan Abdul Rahman ([email protected]) bersama Edry berkenaan perasaan dan visinya pada masa depan.

RAP: Apa komen Edry mengenai kemenangan ini?

EDRY: Sudah semestinya saya rasa bangga kerana hasil kerja saya dinilai penggiat industri serta semua pihak yang memainkan lagu-lagu saya. Perlu diingat penilaian ini dibuat bukan berdasarkan status saya sebagai artis ataupun anggota KRU.

Alhamdulillah, kemenangan ini juga menunjukkan bahawa lagu-lagu saya melekat di hati peminat. Banyak kerja yang saya lakukan untuk hasilkan lagu yang disukai ramai dan penerimaan ini menjadi bukti ia dihargai.

RAP: Apa komen Edry apabila berjaya memecahkan dominasi M Nasir selama 14 tahun?

EDRY: Saya tak ada niat nak kalahkan M Nasir atau sesiapa pun. Sebenarnya saya berkarya kerana minat dan tanggungjawab terhadap industri muzik kita. Selama tiga hingga lima tahun kebelakangan ini, saya memang sentiasa berada dalam tiga kelompok teratas bersama M Nasir dan Saari Amri dan saya sifatkan itu sudah memadai.

Apapun kemenangan ini jadi perangsang untuk saya buat yang lebih bagus. Ia juga satu pencapaian terbesar untuk saya.

RAP: Pandangan Edry terhadap pesaing lain?

EDRY: Tak dinafikan M Nasir seorang seniman yang hebat. Begitu juga dengan Saari yang mempunyai kehebatan tersendiri. Saya begitu teruja apabila disenaraikan bersama mereka sebelum ini dan sesiapa yang menang mempunyai kehebatan tersendiri.

Kemenangan saya ini disifatkan satu sejarah besar dalam karier sebagai anak seni. Inilah yang saya peroleh hasil usaha gigih saya mencipta pelbagai genre lagu sejak dulu hingga sekarang.

RAP: Apa cabaran menghasilkan lagu popular pada zaman ini?

EDRY: Zaman sekarang perbezaannya sangat kompetitif. Dulu era Datuk Ahmad Nawab, A Ali dan ramai lagi dan ketika itu stesen radio terhad. Pendengar terikat dengan stesen yang ada, sekali gus sesebuah lagu mudah popular.

Sekarang stesen radio juga banyak selain pelbagai medium di Internet yang mempunyai akses lebih mudah dan dekat dengan pendengar. Mereka boleh pilih untuk dengar lagu yang diminati di mana-mana saja.

Ini jadi satu cabaran untuk buat lagu yang benar-benar menangkap halwa telinga kerana ruang untuk popular sudah terpecah kepada beberapa bahagian.

RAP: Apa formula Edry untuk kekalkan prestasi?

EDRY: Saya kena pelbagai karya muzik dengan hasilkan pelbagai genre seperti pop dan balada. Sebenarnya saya ada kuota untuk cipta lagu. Ia ada musim-musimnya juga.

Kadang-kadang saya sibuk dengan penerbitan filem sehingga terpaksa tinggalkan seketika penciptaan lagu. Apapun saya memang kena aktif kerana terikat dengan komitmen hasilkan lagu untuk artis-artis Astro Entertainment serta artis lain seperti Anuar Zain.

Kepelbagaian penghasilan lagu adalah penting. Formula yang saya guna ialah lagu-lagu ini hanyalah ramuan penyedap. Saya perlu berterima kasih terhadap penyanyi yang menyanyikannya kerana merekalah yang menghidupkan sesebuah lagu.

RAP: Berapa banyak lagu Edry hasilkan setiap tahun?

EDRY: Diikutkan saya menghasilkan 30 lagu setahun, tapi tak semuanya popular kerana ia bergantung pada penerimaan peminat. Sekarang pun saya terbabit menghasilkan lagu untuk Mojo dan lagu untuk filem Cicakman 3 yang menggandingkan KRU dan Zizan Razak berjudul Adiwira.

RAP: Apakah setiap artis KRU Records perlu menyanyikan lagu Edry?

EDRY: Saya tak pernah paksa mereka buat begitu. Jika sekiranya mereka ada lagu sendiri, saya tak kisah hanya jadi penerbit saja. Begitu juga jika mereka perlukan bimbangan dan strategi saya pasti akan bantu.

Cuma masing-masing gunakan kelebihan sendiri. Contohnya seseorang penyanyi sedar kebolehannya hanya menyanyi, jadi dia serahkan pada saya untuk buat lagu yang sesuai untuknya.

Alhamdulillah, ramai yang nakkan lagu saya, tapi saya tak boleh andaikan apabila nyanyikan lagu saya, pasti meletup. Saya buat lagu pun bergantung kepada penyanyi. Kena tahu siapa penyanyinya.

RAP: Bagaimana dengan harapan peminat yang terus mengharapkan karya berkualiti daripada Edry?

EDRY: Era sentiasa berubah-ubah dan saya kena sentiasa peka dengan perubahan. Sebagai komposer dan pemuzik, saya kena ada tanggungjawab untuk artis supaya ada karya yang diketengahkan.

Saya kena gunakan formula yang betul untuk artis yang betul dan pada masa yang betul. Tak dinafikan pada usia saya sekarang 38 tahun, sukar untuk 'catch up' dengan muzik generasi baru.

Namun saya sentiasa ikuti perkembangan di media sosial dan pantau apa yang generasi sekarang suka. Bila ada ilmu dan pengalaman, saya boleh sesuaikan diri dengan perubahan di sekeliling.

RAP: Apakah perancangan untuk 2015?

EDRY: Sememangnya banyak perancangan dah difikirkan terutama fokus untuk muzik. Kami juga akan tampilkan Mojo dengan vokalis baru.

KRU juga akan ada album baru selain memiliki artis sendiri iaitu Jaclyn Victor dan Wings. Kami juga ada berbincang dengan artis-artis bukan dari label KRU Music bagi menjalinkan kerjasama dengan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 5:01 AM