SHAHRIL Ridza ketika taklimat media. FOTO Abdullah Yusof
SHAHRIL Ridza ketika taklimat media. FOTO Abdullah Yusof
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mencatatkan peningkatan pendapatan pelaburan sebanyak RM44.23 bilion bagi tahun kewangan 2015, jumlah tertinggi direkodkan sejak 2005.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, nilai pendapatan pelaburan itu meningkat 13 peratus berbanding RM39.08 bilion yang direkodkan pada 2014.

Katanya, pelaburan ekuiti menjadi penyumbang utama kepada jumlah keseluruhan pendapatan pelaburan KWSP bagi 2015 iaitu RM26.01 bilion diikuti pendapatan tetap (RM15.66 bilion), inflasi (RM1.70 bilion) dan tunai RM858 juta.

"Biarpun, berdepan dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan, KWSP merekodkan jumlah pulangan pelaburan (ROI) yang baik iaitu 7.48 peratus pada 2015, berbanding 7.25 peratus tahun sebelumnya.

"KWSP juga akan terus komited memberi pulangan dividen yang mampan kepada ahli, terutama disumbangkan oleh kepelbagaian pelaburan domestik dan asing yang dilaksanakan," katanya di majlis pengumuman dividen 2015 KWSP, di sini, hari ini.

Shahril berkata, KWSP mengharungi cabaran ekonomi yang tidak menentu tahun lalu dan sekali gus melepasi jangkaan penganalisis ekonomi yang menjangkakan jumlah dividen KWSP bagi 2015 ialah 5.8 peratus.

KWSP Sabtu lalu mengumumkan dividen bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, berjumlah 6.40 peratus dengan nilai pembayaran tertinggi iaitu RM38.24 bilion sejak penubuhannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 3:56 PM