TAMPAK rekaan sporty.
TAMPAK rekaan sporty.
HONDA CBR150R edisi Repsol.
HONDA CBR150R edisi Repsol.
Oleh Erywan Norshal


Ciri sukan permotoran, kerangka ringan dengan rekaan agresif menjadi konsep terkini bagi model baharu Honda CBR150R yang dilancarkan di Jakarta, Indonesia pada minggu lalu.

Perubahan dilakukan memberi pengendalian lebih baik kepada penunggangnya. Motosikal itu hadir dengan gabungan evolusi prestasi dan rekaan berani yang menerapkan bentuk jentera perlumbaan.

Ia tampil dengan karakter sporty di mana bentuknya yang kompak, tetapi jarak rodanya lebih panjang disokong suspensi Pro-Link untuk memberikan kestabilan bagi semua keadaan jalan.

Posisi pemegangnya lebih melengkung bagi memberi pengendalian sempurna. Ia lebih mudah dikendalikan selepas menggunakan kerangka ‘Truss Diamond’ dan Penyangkut Enjin Aluminium yang mengoptimumkan keseimbangan.

Bahagian hadapan tampil rendah dan ramping untuk memberikan pandangan lebih luas ketika menunggang, selain dihiasi dengan meter kelajuan digital yang mudah dilihat.

Honda CBR150R dijanakan enjin generasi baharu 150cc DOHC penyejuk cecair yang menghasilkan 17.1PS pada 9,000rpm dengan tork 13.7Nm pada 7,000rpm.

Enjin yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan manual memberi kuasa tork lebih tinggi pada prestasi peringkat permulaan serta pertengahan.

Biarpun tampak sporty, tahap penggunaan bahan api lebih menjimatkan dengan mencatatkan 39.72 kilometer bagi setiap liter dengan enjin piawaian Euro 3.

Ia ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu hitam; merah; gabungan merah, biru dan putih serta Repsol.

Bagi pasaran Malaysia, Boon Siew Honda Sdn Bhd masih belum memberi laporan rasmi sama ada jentera itu bakal menembusi di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 5:01 AM