ZAZA (kanan) meraikan gol tunggal kemenangan ke atas Napoli
ZAZA (kanan) meraikan gol tunggal kemenangan ke atas Napoli

Turin, Itali: Pemain gantian Simone Zaza berharap jaringan saat akhir yang membawa Juventus ke puncak Serie A selepas menewaskan Napoli 1-0 semalam akan memastikan tempatnya dalam Euro 2016.

Zaza antara pemain terpinggir Azzurri yang bertekad menarik perhatian jurulatih Itali Antonio Conte sebelum kejohanan di Perancis musim panas ini.

Pemain berusia 24 tahun itu beberapa kali tampil sebagai kesebelasan utama untuk Old Lady of Turin musim ini, kebanyakannya digunakan sebagai pemain gantian separuh masa kedua sebagai pengganti Alvaro Morata atau Mario Mandzukic.
Sewaktu Zaza menggantikan penyerang Sepanyol Morata, 13 minit selepas separuh masa kedua, dia memanfaatkan beberapa peluang terhidang untuk menarik perhatian jurulatih Massimiliano Allegri, begitu juga Conte, yang berada di bangku penonton.

Zaza mengakui peluang bermain lebih kerap akan membantu misinya namun kemudiannya memberitahu: “Objektifnya adalah menjadi pratogonis dalam kejuaraan Eropah, saya harap Conte akan memanggil saya.”

Sementara itu Zaza dilihat menikmati jaringan hebat yang meletakkan Juve di kedudukan terbaik untuk menyamai rekod sendiri sebelum perang dengan lima gelaran liga berturut-turut.

“Saya bertuah dan juga rasa seronok. Saya harap ia akan menjadi sesuatu penting, jaringan yang memastikan gelaran,” katanya.

“Kami menderita sepanjang perlawanan kerana Napoli cuba menghukum kami menerusi serangan balas namun matlamatnya adalah menang dan itu yang kami lakukan.

“Jika terus begini, tiada siapa yang akan merampas gelaran daripada kami.”

Conte, yang membawa Juve menjulang tiga daripada empat gelaran sebelum ini yang dimenangi berturut-turut dikatakan pergi ke Turin juga untuk meninjau pemain sayap Napoli Lorenzo Insigne. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2016 @ 6:58 AM