PERSEMBAHAN menarik kumpulan peserta tunggal wanita.
PERSEMBAHAN menarik kumpulan peserta tunggal wanita.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Ilham menggabungkan lagu hit Garua dalam filem Dilwale bersama lagu Melayu membawa busker duo Da Bozz memenangi Pertandingan Busker anjuran Bentley Music Academy baru-baru ini.

Menurut penyanyi utamanya, Muhammad Idzham Shah Shajehan, idea tampil saat akhir ketika membuat persiapan bagi pertandingan terbabit dua hari sebelum itu tidak disangka berjaya menarik perhatian juri.

“Sebenarnya kami baru saja membuat susunan semula kepada melodi supaya dua lagu genre berlainan baik susunan melodi dan bahasa lagu itu tidak canggung. Latihan pun sekali saja disebabkan kami baru dapat idea dua hari lalu.

“Hanya berbekalkan pengalaman nyanyi jalanan lebih lima tahun yang membantu kami tampil di pentas,” katanya.

Rakan duonya Rizal Md Radzi pula berkata, dia tidak menyangka pasukannya berjaya menarik perhatian juri kerana ramai penyanyi bertanding memberi saingan hebat dan masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.

“Kami bertanding atas sebab minat selain mengasah skil persembahan muzik. Satu penghormatan apabila penyanyi jalanan seperti kami mendapat perhatian serta pengiktirafan akademi muzik seperti Bentley yang sanggup menganjurkan pertadingan seperti ini.

“Hadiah ditawarkan buat penggiat muzik membantu meningkatkan lagi kualiti persembahan ketika di khalayak ramai,” katanya.

Bagi pemain ukulele Ong Xin Jian, pertandingan itu membantunya memperkenalkan permainan ukulele sebaris instrumen terkenal lain.

“Dulu ukulele lebih dilihat kepada permainan muzik sosial berbanding persembahan profesional pentas mahupun untuk pertandingan. Namun, melihat penerimaan juri memilih saya layak ke peringkat akhir memberi persepsi ia berpotensi dan mempunyai tarikan tersendiri.

“Saya berharap selepas ini berpeluang menyertai persembahan orkestra untuk muncul secara solo dalam acara pentas tersohor,” katanya.

Walaupun peserta lelaki mendominasi peringkat akhir dalam pertandingan itu, kelibat penyanyi perempuan tunggal, Nursa’aidatul Shaqiera Saari ternyata mencuri tumpuan.

Gadis manis terbabit tidak sahaja menghiburkan penonton dengan suara serak basahnya malah mempunyai bakat meniup saksafon.

Katanya, dia bersama saudara lelakinya, Mohamad Sa’aid Shauqra sungguh teruja terpilih berentap di pentas akhir bersama rakan busker lain.

“Saya lihat pelbagai variasi persembahan dalam kalangan penghibur jalanan yang hadir kali ini. Ia sesuatu yang menarik dilihat selain membuka mata kami selaku penggiat muzik mengenai kemampuan rakan yang boleh kami kongsi mengenai skil mereka.

“Buat kami sendiri, apabila ada pertandingan seperti ini semestinya mengujakan kerana kami dapat mencabar kemampuan untuk berdaya saing secara sihat dengan pemuzik lain.

“Malah kami turut mengetahui tahap kemahiran baik nyanyian, mengendalikan instrumen serta komunikasi ketika di atas pentas. Ia diharap terus mendorong untuk menjadi pemuzik lebih baik,” katanya.

Sementara itu wakil penganjur Adrian Wang berkata, pertandingan berkenaan antara usaha pihaknya selaku akademi muzik untuk mengangkat imej pemuzik jalanan dalam kelas tersendiri.

“Ramai pemuzik jalanan mempunyai keunikan tersendiri dan skil mutu persembahan lebih baik. Maklumlah mereka mendekati masyarakat umum dan menarik orang ramai untuk menghayati persembahan muzik ‘live’.

“Apa pihak kami lakukan ialah mengumpulkan mereka serta mengetengahkan platform menerusi acara ini supaya mereka bersaing sesama sendiri untuk menonjolkan kualiti mereka.

“Harapan kami ialah mereka dapat meningkat­kan kualiti persembahan selain memeriahkan industri muzik menerusi kreativiti serta bakat mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2016 @ 5:01 AM