CHARLIE Puth.
CHARLIE Puth.
Susunan Georgie Joseph


Tahun 2015 pastinya tahun gemilang buat penyanyi Charlie Puth. Lagu See You Again nyanyiannya bersama Wiz Khalifa meledak sejak awal tahun lalu dan mendominasi carta Hot 100 sehingga menyamai rekod lagu Eminem, Lose Yourself.

Selepas menembusi arena muzik arus perdana, lagu-lagunya pantas menarik perhatian bukan saja peminat, tetapi juga stesen radio. Lagu duetnya Marvin Gaye bersama Meghan Trainor terus meledak di Eropah dan Australia manakala lagu One Call Away pula serta-merta digilai ramai.

Awal bulan lalu, akhirnya Charlie tampil dengan album sulungnya berjudul Nine Track Mind sebelum membuat persembahan di iHeartRadio Theater, New York, Amerika Syarikat.

Terbaru, Charlie turut dicalonkan dalam tiga kategori iaitu Lagu Terbaik, Persembahan Duo/Berkumpulan Pop Terbaik dan Lagu Untuk Media Visual Terbaik bagi lagu See You Again di Grammy Awards, tahun ini.

“Semua itu tidak mungkin berlaku setiap hari. Maksud saya, ia satu pencapaian yang sangat luar biasa dan mula terfikir tampil dengan perubahan baru. Bukan dengan meletakkan ‘mindset’ yang akan menjurus kepada ruang pemikiran negatif.

“Saya tidak menganggapnya sebagai tekanan, namun tidak juga mahu memaksa diri melakukan perubahan. Cukuplah sekadar mengukuhkan diri sebagai seorang penyanyi balada yang bermain piano,” katanya.

Bagaimanapun, berkongsi mengenai album terbaru­nya itu, Charlie menafikan muziknya cuma terhad kepada satu kepompong saja.

Perubahan tetap disuntik yang dia sendiri tidak menjangkakan hal itu terlaksana.

“Nine Track Mind memuatkan 12 lagu, namun tidak semestinya semua lagu berkenaan sekadar ikut cita rasa saya. Secara muzikal, banyak yang sentiasa mengalir dalam kepala saya sehingga ke melodi pelik.

“Dapat melakukan perubahan menerusi lagu duet bersama Selena Gomez, We Don’t Talk Anymore yang disuntik dengan elemen muzik Brazil sudah cukup memadai. Tidak perlu apa-apa perubahan lagi,” katanya.

Charlie turut mengakui, inilah impiannya sejak dulu dan mengecap populariti dalam tempoh 12 bulan kebelakangan ini sukar untuk dia gambarkan.

“Saya rasa lebih baik pertanyaan itu diajukan semula kepada diri sendiri di mana kedudukan saya pada 12 bulan yang lalu. Saya cuma seorang insan biasa menetap di California.

“Sukar untuk saya ungkap perkataan yang paling tepat, namun inilah apa saya impikan sekian lama. Cumanya, saya tidak pernah sangka ia akan berlaku sepantas ini dan semuanya datang sekali gus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 10:39 AM