TANPA pendidikan, kanak-kanak perempuan luar bandar akan mewarisi kemiskinan keluarga.
TANPA pendidikan, kanak-kanak perempuan luar bandar akan mewarisi kemiskinan keluarga.
PAKISTAN mempunyai jumlah kanak-kanak perempuan buta huruf paling tinggi di dunia.
PAKISTAN mempunyai jumlah kanak-kanak perempuan buta huruf paling tinggi di dunia.
PENDUDUK Pakistan kini mula sedar untuk memberikan hak pendidikan kepada anak perempuan.
PENDUDUK Pakistan kini mula sedar untuk memberikan hak pendidikan kepada anak perempuan.
PENDIDIKAN mampu memperbaiki kehidupan dan ekonomi wanita.
PENDIDIKAN mampu memperbaiki kehidupan dan ekonomi wanita.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Bertahun-tahun lamanya, setiap kali bangun dari tidur, Fatima mengimpikan untuk pergi ke sekolah. Namun impiannya itu tidak pernah kesampaian. Pada usia lima tahun, Fatima sudah dibawa ke ladang untuk membantu ibu dan ayahnya bekerja.

Dia cemburu melihat abangnya yang berpeluang belajar di sekolah sedangkan dia sejak kecil perlu membantu kedua-dua orang tuanya. Inilah hakikat kehidupan bagi kanak-kanak perempuan di Bahawalpur, di Punjab yang terletak di timur Pakistan.

“Saya teringin untuk bersekolah. Saya mahu jadi guru supaya saya boleh membantu kanak-kanak perempuan lain,” kata Fatima, yang kini berusia tujuh tahun dalam temubual menerusi Skype dari rumahnya.

Sebagai anak peladang, Fatima terpaksa akur dengan nasibnya. Dia akan mewarisi kehidupan ibunya yang tidak tahu membaca dan hidup dalam kemiskinan yang jauh berbeza dengan nasib anak lelaki. Nasib Fatima sama dengan lebih 13 juta kanak-kanak perempuan di Pakistan yang tidak pernah melihat apatah menjejakkan kaki dalam bilik darjah.

Hampir separuh daripada 53 juta kanak-kanak Pakistan yang berumur antara lima hingga 16 tahun tidak bersekolah dan 55 peratus terdiri daripada kanak-kanak perempuan.

Pakistan mempunyai jumlah kanak-kanak perempuan keciciran sekolah yang paling tinggi di dunia. Berita mengenai anggota Taliban menembak penggiat pendidikan dan pemenang hadiah Nobel Keamanan, Malala Yousafzai, yang ketika itu berusia 14 tahun di depan sekolahnya mendapat perhatian dunia.

Kini keadaan dalam masyarakat Pakistan yang didominasi oleh lelaki sudah mula menunjukkan perubahan. Wanita Pakistan, sama ada penggiat pendidikan atau ibu yang buta huruf sama-sama berganding bahu memperjuangkan hak untuk kanak-kanak perempuan bersekolah.

Nasib Fatima berubah apabila pekerja komuniti melawat rumahnya dan selepas beberapa perbincangan, dengan sokongan si ibu, pekerja berkenaan berjaya meyakinkan ayah Fatima untuk menghantar anaknya bersekolah. Keputusan itu memecahkan tradisi di kampung miskin itu yang tidak membenarkan anak perempuan belajar.

“Impian saya jadi nyata dan kini saya boleh pergi ke sekolah. Saya gembira dapat bermain dengan kawan sekolah. Guru semuanya baik dan prihatin pada pelajar,” cerita Fatima dengan riang.

Kini Fatima termasuk dalam kelompok 73,000 kanak-kanak yang bersekolah menerusi program bersama yang dilancarkan pada 2013 oleh Alif Ailaan - iaitu satu kempen pemulihan pendidikan di bawah tajaan Pembangunan Antarabangsa Jabatan United Kingdom (UK) tetapi dijalankan warga Pakistan sendiri menerusi Rangkaian Program Sokongan Luar Bandar (RSPN).

Projek ini membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk luar bandar Pakistan mengenai kepentingan belajar selain menggerakkan masyarakat menggesa meminta wakil politik dan pegawai jabatan pelajaran menyediakan pendidikan berkualiti untuk anak mereka.

Kempen untuk anak

Walaupun termaktub dalam undang-undang bahawa setiap kanak-kanak di Pakistan berhak mendapat pendidikan percuma, tetapi ia hanyalah catatan di atas kertas. Penyelidik sosial mengatakan kemiskinan, budaya konservatif dan kemudahan persekolahan yang daif menyebabkan banyak keluarga miskin mengambil keputusan untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah terutama anak perempuan.

RSPN berkata, kejayaan projek itu banyak bergantung kepada kerjasama di peringkat akar umbi dan penggiat kempen yang menggunakan pelbagai kaedah kreatif bagi menyampaikan mesej dengan mengadakan aktiviti jalan beramai-ramai ke seluruh kampung bagi meningkatkan kesedaran masyarakat. Malah mereka juga berjumpa dengan ketua agama untuk membantu menyebarkan maklumat.

Menurut laporan pekerja sosial, antara alasan paling biasa diberikan tidak menyekolahkan anak perempuan ialah keengganan ibu bapa mengizinkan mereka keluar, ketiadaan akses untuk ke sekolah, kemiskinan dan sensitiviti budaya.

Berdasarkan laporan Oxfam yang terbaru, kira-kira 11 peratus kanak-kanak perempuan Pakistan berkahwin sebelum mencecah umur 15 tahun, yang sekali gus menafikan hak mereka kepada kesihatan, pendidikan dan perlindungan. Pada masa sama, kaum bapa perlu diyakinkan bahawa memberi pendidikan kepada anak perempuan adalah satu perkara yang sangat berguna.

Uzma Nazir, antara penggiat kempen yang aktif di Bahawalpur memberitahu, dia pernah merayu dan berdialog dengan seorang ayah bagi mengingatkan lelaki itu mengenai tanggungjawab sebagai bapa Islam terhadap anak perempuan selain menyedarkan kesilapannya yang berbelanja banyak untuk membeli rokok.

“Kalau anda mampu merokok setiap hari dan ada cukup duit untuk DishTV (saluran televisyen berbayar di India), ia bermakna anda juga mampu untuk membiayai kos pendidikan anak-anak,” kata Uzma kepada lelaki itu.

Uzma menambah, setiap lelaki dan wanita Muslim mempunyai tanggungjawab untuk mencari ilmu. Hasil dialog itulah, dia akhirnya membantu lelaki berkenaan mendaftarkan tiga anak perempuannya ke sekolah.

Dalam hal pendidikan anak-anak, wanita menerimanya dengan tangan terbuka walaupun dengan kemampuan yang terbatas. Sukhaan Mai contohnya dengan segera bersetuju untuk menyekolahkan lapan anaknya (tujuh perempuan dan seorang lelaki). Pendapatan Mai yang tinggal 40 kilometer dari bandar Dera Ghazi Khan di tengah Pakistan hanyalah 8,000 rupee (RM322) sebulan hasil mengerah kudratnya sebagai buruh selain mengambil upah memetik kapas dan menuai gandum.

Namun wanita ini mempunyai impian yang besar mahu memberikan kehidupan yang lebih baik kepada anak-anaknya, termasuk menghantar mereka ke sekolah, terutama anaknya yang cacat, Memoona, 12.

“Banyak faedahnya kalau anak saya mendapat pendidikan, masa depan mereka akan lebih baik. Mereka juga akan dapat ilmu untuk membezakan perkara baik dan buruk,” katanya dalam temubual menerusi Skype.

Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), pada 2010 hingga 2011, kira-kira 75 peratus wanita Pakistan yang berumur 15 tahun dan ke atas bekerja dalam sektor pertanian dalam persekitaran tempat kerja yang teruk dengan upah rendah.

Bukti sejagat menunjukkan pertambahan satu tahun persekolahan boleh meningkatkan pendapatan wanita sebanyak 10 hingga 20 peratus. Setakat ini, projek berkenaan sudah berjaya membawa kesedaran kepada hampir 250,000 orang mengenai kepentingan pendidikan. Masyarakat luar bandar juga kini giat melobi untuk menambah baik kemudahan di 741 sekolah kerana banyak yang beroperasi tanpa bekalan elektrik, tiada air minuman dan tandas pula tidak rosak serta tidak berdinding.

Pekerja sosial berkata, ada banyak lagi perkara yang perlu dijalankan.

“Pakistan memerlukan persekitaran di mana akses yang saksama diberikan kepada setiap orang sejak kelahirannya. Jika kita berjaya melakukannya, saya jamin ia kita akan mempunyai masa depan yang cerah dan cemerlang,” kata pengarah kempen Alif Ailaan, Mosharraf Zaidi. - Thomson Reuters Foundation

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 11:24 AM