FOTO Zuliaty Zulkiffli
FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli

Kodiang: Wanita 24 tahun dikhuatiri lemas selepas kereta dinaiki bersama rakannya terbabas dan terjunam ke dalam terusan Lana Bulu, Jalan Megat Dewa, di sini, kira-kira 3 pagi ini.

Norliza Abdullah dipercayai sempat keluar dari kereta tetapi dikatakan tidak tahu berenang manakala kenderaan terbabit tenggelam dalam terusan berkedalaman enam meter.

Sementara itu, rakan mangsa seorang lelaki yang belum dikenal pasti identiti berjaya menyelamatkan diri keluar dari kenderaan terbabit.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Suffian Hassan, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa membabitkan 21 anggota dari BBP Jitra, Alor Setar dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Sungai Petani.

Beliau berkata, operasi turut dibantu tiga anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dan lapan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kubang Pasu.

Katanya, operasi pencarian dilakukan di kawasan sekitar 30 meter mangsa dilaporkan terjatuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 10:10 AM