Oleh Dr Swamenathan - Pakar Perunding Psikiatri

Walaupun tiada satu pendekatan khusus yang boleh digunakan bagi semua situasi oleh para bapa, untuk menjadi bapa anda perlu membabitkan diri dalam semua aspek membesarkan anak.

Malah, bapa memainkan peranan sama penting dengan seorang ibu dalam membentuk perkembangan kemahiran sosio-emosi, kognitif, bahasa dan motor anak. Kajian menunjukkan bapa yang memainkan peranan aktif sejak awal kehidupan anak mampu meningkatkan perkembangan mereka.

Sebagai seorang bapa dan suami, terdapat banyak aspek yang perlu pembabitan anda daripada saat anda menerima berita mengenai kehamilan pasangan dan ia berterusan sepanjang hayat. Sama seperti hubungan lain, nilai pembabitan anda ini terletak pada kualiti interaksi dan bukan jumlah masa yang diluangkan. Sebagai contoh, tiada gunanya anda meluangkan masa bersama anak jika anda duduk sebelahnya, tetapi anda leka dengan gajet sendiri dan mengabaikan atau membiarkan anak bermain sendirian.

Dengan melaburkan masa bersama anak, anda akan membantu memastikan dia membesar menjadi anak yang mempunyai emosi dan keyakinan diri yang baik. Anak yang diberi perhatian secukupnya tidak mudah terjerumus dalam masalah, sama ada di rumah mahupun di sekolah.

Sejak awal

Sebagai seorang bapa, anda tidak boleh mengelakkan diri daripada terbabit sama dalam menjaga bayi anda. Dengan memberi bayi anda kasih sayang sepenuhnya (anda boleh lakukannya dengan bermain atau respon kepada tangisannya), hubungan rapat dapat dipupuk. Malah, adalah baik untuk berinteraksi dengan bayi walaupun ketika kehamilan anda boleh bercakap, menyanyi, atau ‘bermain’ dengannya secara menyentuh perut pasangan anda, pada penghujung kehamilan.

Perkembangan akademik dan kebapaan

Beberapa kajian menunjukkan anak yang bapanya lebih terbabit dalam pengasuhan mereka mendapat pencapaian yang lebih baik di sekolah. Kajian yang sama juga mencadangkan bahawa masa yang diluang­kan bermain dengan anak ketika mereka bayi membolehkan anak mencapai IQ tinggi dan kebolehan bahasa serta kognitif yang lebih baik.

Di sekolah, anak ini lebih mudah menerima pembelajaran, lebih sabar dan bersedia untuk mengatasi tekanan dan kekecewaan persekolahan berbanding kanak-kanak yang kurang pembabitan bapa dalam mengasuh mereka.

Manfaat kebapaan yang baik terhadap pencapaian akademik anak dan perkembangan sosial serta emosinya tidak terhad kepada kanak-kanak kecil sahaja, tetapi akan berpanjangan sehingga ke alam remaja dan dewasa.

Langkah yang harus anda ambil

Apa yang boleh anda lakukan? Terdapat beberapa aspek penting yang anda perlu sedari, khususnya:

• Kekalkan hubungan positif dengan pasangan anda - Bagaimana anda melayan pasangan menjadi teladan kepada anak. Pastikan anda menghormati dan menyayangi pasangan anda. Anak yang membesar dalam persekitaran di mana mereka melihat ibu dianiayai atau didera kemungkinan besar akan melayan pasangan mereka dengan cara yang sama apabila dewasa kelak.

Mereka juga berisiko tinggi terhadap kemurungan dan mungkin lebih agresif. Dari segi kesihatan, stres yang terjadi akibat konflik ibu bapa boleh melemahkan sistem imun dan membawa kepada masalah kesihatan.

• Luangkan masa berkualiti bersama anak anda - Ini membolehkan anda mengeratkan kasih sayang dengan anak anda dan mengenali satu sama lain dengan lebih rapat, seterusnya memahami emosinya dengan lebih baik. Anda boleh memainkan peranan unik dalam perkembangannya, tetapi cara paling baik adalah dengan melakukan aktiviti aktif dan fizikal, seperti bermain badminton atau bola sepak berbanding aktiviti pasif seperti menonton TV bersama. Ini akan banyak membantu kesejahteraan emosi, perkembangan sosial dan kecergasan fizikal anak anda.

• Kerja berpasukan mengeratkan hubu­ngan - Cuba lakukan kerja rumah bersama anak anda. Ini membolehkan anda meluangkan masa berkualiti bersamanya sambil memupuk rasa tanggungjawab.

• Galakkan pertumbuhan intelek anak anda - Berusaha untuk merangsang minda anak dengan membaca kepadanya, berjumpa dengan guru kelasnya atau aktiviti lain yang mampu memberi fokus kepada kebolehan akademik atau inteleknya.

Jangan takut untuk menunjukkan anda mengambil berat

Tidak kira betapa sibuk, pastikan anda meluangkan sedikit masa untuk anak anda - kebanyakan anak melihat masa yang diluangkan bersama mereka sebagai tanda anda menyayangi mereka. Tidak salah untuk mencurahkan kasih sayang dan perhatian kepada anak anda lebih-lebih lagi ketika dia masih bayi. Sebagai bapa anda harus memberi respon terhadap tangisan seorang bayi.

Ambil setiap peluang yang ada untuk mengerat­kan kasih sayang dengan bayi anda dengan cara mendukung atau memeluknya seberapa kerap yang boleh.

Jangan biarkan ibu melakukan semua penjagaan asas seperti menyusu atau menukar lampin. Lakukan bahagian anda seberapa kerap yang boleh. Pengasuhan anda mungkin tidak menyerlah seperti seorang ibu, tetapi ia sama penting. Malah, beban kerja pengasuhan harus dikongsi bersama kedua-dua ibu dan bapa.

* Artikel ini sumbangan program Pengasuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kolaborasi bersama rakan kongsi pakar: Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, Persatuan Tadika Malaysia dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia. Pendapat yang terdapat dalam artikel ini adalah pandangan penulis. Bagi maklumat lanjut dan membaca majalah-e Pengasuhan Positif, sila layari www.mypositiveparenting.org.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2016 @ 5:01 AM