Ipoh: Awang import musim lalu, Marco Tulio (gambar) bersetuju menyambung kontraknya dengan pasukan The Bos Gaurus bagi menghadapi kancah bola sepak Liga Malaysia (Liga M), musim depan.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Abd Aziz Yeop Jamaluddin ketika memberitahu perkara itu berkata Tulio sudah memetrai ikatan baru dengan pasukan Seladang baru-baru ini.

Berikutan itu Perak kini memburu tiga lagi pemain dan Aziz yang juga ahli jawatankuasa Eksektuif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata beliau menerima tidak kurang 10 butiran diri calon awang import yang ingin datang ke Perak.

"Saya akan serahkan nama pemain terbabit kepada pengurusan pasukan untuk tindakan selanjutnya,"katanya.

Sebelum ini PAFA menamatkan kontrak tiga pemain import iaitu Hassan Daher, Milan Purovic dan Abdulafees Abdulsalam.

Afees dilepaskan berdasarkan perjanjian persefahaman PAFA dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) musim ini.

Manakala kontrak pemain tempatan yang ditamatkan ialah ialah Shahrizal Saad, Mohd Fazli Zulkifli, Mohd Hardi Jaafar, Mohd Nazri Kamal, Md Noor Hazrul Mustapha, Md Nor Haziq Aris dan Md Hidayat Amaruddin.

Lapan pemain dari skuad Piala Presiden pula diserap ke dalam skuad utama tahun depan iaitu Hafiz Ramadan, S Vickneswaran, Amirul Azhan, Md Hafizul Hakim, G Mugenthiran, Hamizul Izaidi, Md Rafiq Faeez dan Mohd Norhakim Isa.

Selepas gagal meneruskan kemaraan dalam saingan Piala Malaysia, Perak mengambil langkah awal dalam pembentukan pasukan termasuk melantik Vjeran Simunic sebagai jurulatih..

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 1:28 AM