Kenyataan media Ketua Pengarah Kesihatan.
Kenyataan media Ketua Pengarah Kesihatan.
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Kementerian Kesihatan mengesahkan produk salad dari Australia yang dicemari bakteria Salmonella tidak dieksport ke negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu berdasarkan pengesahan oleh Jabatan

Pertanian Australia.

Menurutnya, pihak kementerian mengambil maklum laporan laman web Piawaian Makanan Australia New Zealand (FSANZ) bertarikh 5 Februari lalu mengenai pemanggilan balik keluaran tertentu produk salad.

"Ia membabitkan salad prabungkus jenama Wash N Toss, Woolworths, Coles, Supa Salad dan Clear Film keluaran Tripod Farmers, Australia yang bertarikh luput sehingga 14 Februari kerana dicemari bakteria Salmonella.

"Salmonella adalah sejenis bakteria boleh mengakibatkan seseorang cirit-birit, demam dan sakit perut di samping loya,

muntah, sakit kepala dan sakit otot yang mungkin berlaku," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Jaringan Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Antarabangsa (INFOSAN) di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Pertanian dan Makanan (FAO) mengesahkan produk salad yang terbabit dalam isu berkenaan hanya dieksport ke Singapura, Hong Kong dan Thailand.

"Mengikut INFOSAN, Jabatan Pertanian dan Sumber Air Australia mengenal pasti konsainan produk berkenaan yang dieksport ke negara berkaitan dan sudah mengambil tindakan kawalan," katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, Kementerian Kesihatan mengenakan larangan import terhadap produk salad Australia yang terbabit dalam isu ini berkuatkuasa semalam.

"Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak yang mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya sebarang bahan beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan termasuk bakteria patogenik seperti Salmonella adalah melakukan suatu kesalahan.

"Apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya," katanya.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata, pengguna tidak perlu khuatir kerana Kementerian Kesihatan sentiasa menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan ke atas isu yang berhubung dengan keselamatan makanan bagi memastikan kesihatan orang ramai sentiasa terjamin. "Sekiranya pengguna berasa ragu dengan status keselamatan makanan di pasaran tempatan, mereka boleh membuat laporan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melalui laman web

http://moh.spab.gov.my atau Facebook (FB) Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 7:10 PM