Berlin: Xabi Alonso (gambar) dibuang padang kelmarin ketika Bayern Munich yang beraksi dengan 10 pemain terikat tanpa jaringan di Bayer Leverkusen pada hujung minggu yang sukar buat pendahulu Bundesliga itu.

Alonso, pemain tengah Sepanyol dilayangkan kad merah selepas menerima dua kad kuning dalam tempoh singkat di BayArena.

Selepas menjatuhkan pemain remaja kebangsaan Jerman Julian Brandt pada babak kedua, kekasaran taktikal ke atas bintang serangan Leverkusen Javier Hernandez menyaksikan Alonso dibuang padang.

Ia kali kelima Alonso, yang pernah bermain bersama Liverpool dan Real Madrid, dibuang padang dalam kariernya di kelab dan ia kad merah pertama di Jerman.

“Ia bukannya kad kuning,” kata jurulatih Bayern Pep Guardiola selepas menonton ulang tayang Alonso menjatuhkan Hernandez.

“Kami bergelut pada babak pertama untuk melakukan tiga atau empat hantaran berterusan. Jika anda gagal melakukannya, pasti sukar untuk bermain,” ujar Guardiola. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 5:43 AM