Amir Abd Hamid


Reyhanli (Turki): Hanya sebak dan amat memilukan dapat menggambarkan perasaan melihat sendiri kedaifan penempatan pelarian Syria di kawasan Kafar Adalah di sini, berhampiran Bukit Harem yang memisahkan utara negara ini dengan Syria.

Mangsa konflik di penempatan itu terdiri daripada 12 keluarga membabitkan 80 penduduk dengan 30 daripadanya kanak-kanak dan bayi.

Ketika rombongan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) tiba, kebanyakan mangsa kelihatan seperti ketakutan.

"Kami tahu menumpang di sini dan amat bimbang jika dihalau kerana jika dihalau, tidak tahu mahu ke mana lagi.

“Tinggal di sini, sekurang-kurangnya kami masih boleh melihat tanah negara asal (Bukit Harem) walaupun pelbagai kekurangan," kata pelarian, Muhamad Abadi, 48.

Harian Metro diberitahu Muhamad bahawa 'rumah' pelarian dibina dengan batu dan kanvas.

Menurut lelaki itu, ada ketika cuaca menjadi sangat sejuk dan mereka berharap dapat terus bertahan walaupun cuaca bertambah sejuk.

Ketika lawatan pasukan misi ke penempatan itu, suasana hampir tidak terkawal apabila penduduk mengerumuni peserta sukarelawan dengan harapan mendapat sesuatu.

Ketua misi Muslim Care untuk bantuan musim sejuk pelarian Syria, Mohd Johari Ismail berkata, pihaknya memberi baju sejuk dan sumbangan perbelanjaan untuk mangsa.

"Baju sejuk diberi khususnya untuk bayi dan kanak-kanak. Keadaan mereka sangat menyedihkan.

"Tak dapat bayangkan bagaimana anak kecil mengharungi musim sejuk yang terasa hingga tulang, " katanya.

Pelarian Syria, katanya, amat memerlukan bantuan berpanjangan dan berikutan itu, pihaknya amat mengharapkan seluruh rakyat Malaysia sama-sama menghulurkan sumbangan kewangan bagi membantu mereka yang kini dalam kesusahan.

Sumbangan boleh disalurkan kepada akaun Muslim Care (Maybank 564490413882), (Bank Islam 14032010093666), (Bank Muamalat 14010007654717), (RHB 26212000004747) dan hantarkan mesej mengenai sumbangan ke 019-2726567 (Ustaz Nazmi), 0122510877 (Haji Sham) atau 0162201587 (Khidir).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2016 @ 7:49 PM
Rumah daif berdindingkan separuh batu dengan kanvas atau plastik sebagai dinding dan bumbung yang tidak dapat melindungi sepenuhnya pelarian daripada cuaca sejuk. - Foto AMIR ABD HAMID
Rumah daif berdindingkan separuh batu dengan kanvas atau plastik sebagai dinding dan bumbung yang tidak dapat melindungi sepenuhnya pelarian daripada cuaca sejuk. - Foto AMIR ABD HAMID
Pelarian Syria mengerumuni rombongan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) serta wartawan Malaysia yang mengunjungi kem mereka bagi menghulurkan bantuan. - Foto AMIR ABD HAMID
Pelarian Syria mengerumuni rombongan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) serta wartawan Malaysia yang mengunjungi kem mereka bagi menghulurkan bantuan. - Foto AMIR ABD HAMID
Kanak-kanak dan bayi pelarian Syria yang dicengkam cuaca sejuk ketika berlindung secara haram di Kafar Adalah, Turki. - Foto AMIR ABD HAMID
Kanak-kanak dan bayi pelarian Syria yang dicengkam cuaca sejuk ketika berlindung secara haram di Kafar Adalah, Turki. - Foto AMIR ABD HAMID