AMELIA (kanan) tekad beri persembahan terbaik.
AMELIA (kanan) tekad beri persembahan terbaik.

Kuala Lumpur: Tumpuan kini terarah sepenuhnya kepada skuad kelayakan Piala Thomas namun pemain wanita negara tidak mahu merasa terpinggir dan bangkit melaung azam untuk memberikan persembahan terbaik di Kejohanan Asia Berpasukan yang bakal berlangsung di Hyderabad mulai 15 hingga 21 Februari ini.

Menurut pemain beregu wanita negara, Amelia Alicia Anscelly, tidak kira siapa lawan yang akan ditentang di kejohanan berkenaan mereka berazam untuk memberi persembahan terbaik seterusnya memperoleh slot ke Piala Uber 2016.

“Bagi saya tidak kira negara mana yang bakal ditemui, kami akan berusaha keras pada setiap perlawanan,” kata pemain kelahiran Sabah itu ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Walaupun dibarisi skuad utama, ramai masih sangsi dengan keupayaan pemain wanita terutama selepas diundi dalam Kumpulan A bersama China serta Hong Kong ketika hanya dua saja pasukan terbaik dalam setiap kumpulan akan mara ke suku akhir.

“Apa yang harus kami lakukan di sana nanti adalah memberikan persembahan terbaik dan menikmati semua perlawanan. Setakat ini semua pemain berada dalam keadaan bersemangat,” katanya yang akan bergandingan bersama Soong Fie Cho.

Ditanya sama ada mereka berasa kurang tertekan apabila tidak diberi tumpuan meluas seperti skuad kelayakan Piala Thomas, Amelia mengakui sedikit-sebanyak perkara berkenaan memberikan kesan positif terhadap pemain.

“Yang baiknya ialah kami kurang tertekan kerana ramai yang memberi tumpuan kepada skuad kelayakan Piala Thomas tetapi kami juga berharap dapat mencatat keputusan cemerlang,” kata pemenang pingat emas beregu wanita Sukan SEA Singapura 2015 itu.

Selain Amelia-Fie Cho, dua lagi pasangan beregu wanita yang akan beraksi di Kejohanan Asia Berpasukan itu ialah Vivian Hoo-Woon Khe Wei dan Lee Meng Yean-Chow Mei Kuan.

Bagi acara perseorangan wanita pula, mereka yang terpilih ialah Tee Jing Yi, Ho Yen Mei, Goh Jin Wei dan Lee Ying Ying.

 Amelia bagaimanapun mempunyai satu tugas penting sebelum berlepas ke Hyderabad iaitu beraksi di Grand Prix (GP) Emas Masters Thailand dalam usaha untuk memulihkan semula semangat selepas terkandas di pusingan pertama di dua kejohanan berturut-turut bulan lalu iaitu di Masters Malaysia serta Terbuka India.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2016 @ 5:08 AM