HADIAH Alyah untuk peminat, rakam 2 lagu baru dalam album dilancarkan April depan.
HADIAH Alyah untuk peminat, rakam 2 lagu baru dalam album dilancarkan April depan.
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin


Penantian selama hampir sembilan tahun untuk memiliki album penuh berakhir apabila Datin Alyah bakal melancarkan album sulungnya April depan.

Sebelum ini, Alyah atau nama sebenarnya Nor Hasliah Abu Hassan lebih banyak menghasilkan single seperti Kau Yang Terindah, Sesal Separuh Nyawa, Kisah Hati, Permata dan Ku Pinjam Satu Bintang.

Namun, daripada 11 lagu yang bakal dimuat­kan dalam album itu, hanya terdapat dua lagu baru iaitu Syurga dan Hingga Hujung Hidupku. Selebihnya ialah lagu yang sebelum dirakam sebagai single.

Alyah berkata, dia mengharapkan tahun ini memberi sinar buatnya dan kelahiran album ini dikhaskan untuk peminat yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan sejak dulu.

“Penghargaan daripada peminat amat saya hargai biarpun tahun lalu gagal layak ke Anugerah Juara Lagu ke-30, namun itu bukan halangan kerana kalah dan menang adalah adat,” katanya.

Alyah berkata, susunan muzik bagi album sulungnya ini dilakukan pengarah dan penggubah muzik terkenal Datuk Ramli MS yang juga suaminya.

Menurutnya, status isteri bukan alasan untuk membolehkan Ramli tidak cerewet dalam pembikinan album itu.

“Semua orang tahu Ramli memang cerewet pasal kerja. Semuanya kerana dia mahukan yang berkualiti. Apabila bekerja dengannya, saya ialah penyanyi dan segala-gala yang dilakukan mesti mengikut prosedur,” katanya.

Menurut Alyah, albumnya nanti bukan sekadar album biasa, tetapi menceritakan perjalanan sebenar kehidupan Alyah.

“Ia cukup istimewa bagi saya kerana sudah tertangguh sejak sekian lama. Kini segala impian saya menjadi kenyataan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Alyah menerusi syarikatnya Like Music Sdn Bhd yang memiliki dua penyanyi baru iaitu Soul Hilmy dan Mya Herry.

Kumpulan trio Chocolate yang diketengahkannya sebelum ini terpaksa dibubarkan apabila seorang anggotanya, Pammy mengambil keputusan menyambung pengajian.

Selain itu, Alyah turut melancarkan kelab peminatnya iaitu Alyah4Ever dan pelbagai aktiviti sudah dirancang sepanjang tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2016 @ 5:01 AM