LEBUHRAYA Karak. FOTO fail NSTP Syarafiq Abd Samad
LEBUHRAYA Karak. FOTO fail NSTP Syarafiq Abd Samad
Fazurawati Che Lah


Gombak: Sempena perayaan Tahun Baru Cina, ANIH Berhad menawarkan diskaun tol 10 peratus kepada pengguna lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) yang membuat bayaran secara elektronik (ETC) pada 8 Februari ini.

Pengarahnya Nik Fauzi Nik Hussein berkata pemberian diskaun tol itu akan bermula jam 12 pagi sehingga 11.59 malam.

"Pengguna disarankan menggunakan perkhidmatan yang disediakan di Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) yang terletak di Plaza Tol Gombak dan Bentong untuk menambah nilai kad Touch n Go masing-masing.

"Pengguna juga boleh menggunakan pelbagai perkhidmatan yang disediakan di Kawasanturut rawat dan rehat di sepanjang KLK dan LPT1," katanya selepas mengedarkan Bungkusan Limau Mandarin kepada Pengguna LPT di Plaza Tol Gombak, di sini, tadi.

Katanya susulan jangkaan berlaku peningkatan jumlah kenderaan, beliau menasihatkan pengguna mematuhi Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan bagi melancarkan perjalanan.

"ANIH menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan akan menggunakan KLK dan LPT1 dalam tempoh 10 hari sempena Tahun Baru Cina berbanding sekitar 150,000 kenderaan sehari.

"Seramai 420 kakitangan tol dan 38 Pasukan Rela disediakan bagi melancarkan aliran trafik di 11 Plaza tol bermula Gombak, Bentong, Karak, Lanchang, Temerloh, Chenor, Maran, Sri Jaya, Gambang, Kantan dan Jabor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 6:38 PM