ADIBAH.
ADIBAH.
Oleh Nor Akmar Samudin

Dua tahun lalu, Adibah Noor hadir dengan single Bicara Rindu yang turut menampailkan rakan baiknya sejak 16 tahun lalu, Nizam Din.

Kini, kelibatnya semakin jarang kelihatan di pentas persembahan besar seperti majlis anugerah atau program nyanyian di televisyen (TV).

Menurut Adibah, tahun lalu adalah sesekali stesen TV termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjemputnya menjayakan persembahan, selebihnya penyanyi berusia 46 tahun itu sibuk dengan kerja pengacaraan.

“Apabila ada jemputan nyanyian saya pula ada komitmen lain. Macam baru-baru ini, TV3 mengundang saya beraksi di AJL30 (Anugerah Juara Lagu ke-30), tetapi saya sudah berjanji mengacarakan majlis perkahwinan anak saudara yang berlangsung pada tarikh sama.

“Saya tidak berkecil hati atau terkilan apabila jarang dijemput menyanyi dalam program TV kerana ramai wajah baru mengisi kekosongan itu.

“Saya sedia maklum produksi sangat menitikberatkan rating dan bakat baru yang ada sekarang pun berbakat. Saya berbangga dengan pencapaian mereka.

“Dulu saya sudah merasai segalanya, kini giliran mereka pula. Apa pun perubahan yang berlaku, ia demi kebaikan dan kemajuan industri hiburan tanah air,” katanya.

Selain sibuk memenuhi undangan mengacara pelbagai majlis termasuk korporat dan perkahwinan, dia juga sudah tiga tahun bertugas sebagai penyampai radio di Suria FM bersama Baki Zainal. Suara mereka kedengaran seawal jam 5 sehingga 10 pagi.

“Sebenarnya jadual kerja saya padat, jadi tiada istilah terpinggir atau dilupakan. Mungkin saya kini kurang publisiti, tetapi rutin kerja berjalan seperti biasa. Saya masih ada dalam industri.

“Saya gembira dengan apa yang saya lalui kini,” katanya.

Menyentuh sisi peribadi, Adibah berkata, dek sudah lama hidup sendirian, dia selesa terus solo kerana tiada siapa mengongkongnya.

“Kepada lelaki di luar sana, kalau mereka mahu ‘isteri’, saya tidak akan jadi suri rumah idaman mana-mana lelaki kerana saya bukan jenis wanita yang duduk di rumah menyediakan segalanya untuk suami.

“Saya sudah terlalu selesa menguruskan diri sendiri, tetapi jika ada lelaki yang sanggup melakukan semuanya untuk saya, mungkin akan saya pertimbangkan,” katanya.

Menurut Adibah, dia gembira dengan kehidupannya dan tidak berasa tertekan hidup tanpa lelaki di sisi.

“Saya tidak pernah sunyi kerana sentiasa sibuk bekerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 9:20 AM