Tekanan boleh berlaku apabila terdapat unsur yang mendesak atau menekan melebihi keupayaan kita untuk menanganinya.

Stres yang keterlaluan boleh mengurangkan tenaga, menghakis memori, melemahkan sistem imun, mengganggu mood, mengurangkan tumpuan dan memberi kesan kepada semua organ serta fungsi tubuh kita.

Melalui pengambilan diet seimbang, kesihatan yang baik dapat dikekalkan di samping memastikan tahap mental serta fizikal sentiasa stabil.

Ia turut memberi kesan psikologi yang negatif dan memberi impak buruk kepada fungsi jantung, sistem penghadaman dan rangka otot.

Menurut Pengasas My Ideal Weight Nurul Ashikin Md Nasir, kesan tekanan ini mengakibatkan beberapa penyakit seperti ulser perut, tekanan darah tinggi dan migrain.

“Selain itu, tekanan dan makanan juga mempunyai kaitan kerana kekurangan nutrien yang sihat turut membuatkan tubuh kita menjadi stres.

“Justeru, saranan untuk makan makanan seimbang dan diet yang betul boleh membantu seseorang itu mengurangkan tekanan yang dihadapinya,” katanya.

Menurutnya, kombinasi minuman jus boleh membantu untuk mengurangkan tekanan misalnya kombinasi antara saderi, epal dan lobak merah.

Saderi mengandungi kandungan potasium serta vitamin C, B1 dan E yang tinggi. Nutrien yang terkandung di dalam saderi ini adalah unsur yang penting dalam menangani tekanan.

Bukan itu saja, saderi turut mengandungi magnesium dan minyak pati yang memberi kesan menenangkan pada sistem saraf pusat. Selain saderi, epal juga mempunyai kebaikan tersendiri dalam mengurangkan rasa tekanan.

Epal mengandungi fosforus dan zat besi yang mampu mengurangkan oksidatif stres. Pada masa sama, epal juga membantu dalam pertumbuhan semula sel ketika sel yang sedia ada menerima kesan akibat tekanan.

Disebabkan kulit ialah organ pertama yang akan menunjukkan kesan stres, epal boleh membantu dalam membina semula kulit yang sihat.

Pengambilan buah dan sayur yang tinggi dengan antioksidan seperti vitamin C, E dan beta karotena membantu dalam mengurangkan kesan radikal bebas.

Justeru, lobak merah yang tinggi kandungan beta karotena membantu dalam menangani tekanan. Bagi anda yang mengalami tekanan, boleh mencuba resipi sihat yang dikongsi Nurul Ashikin supaya tubuh kembali segar dan bertenaga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 6:20 AM