ORANG ramai lengkap dengan pakaian musim sejuk menanti bas di lereng Tai Mo Shan, puncak tertinggi di Hong Kong, semalam.
ORANG ramai lengkap dengan pakaian musim sejuk menanti bas di lereng Tai Mo Shan, puncak tertinggi di Hong Kong, semalam.
AFP

Hong Kong: Cuaca sejuk melanda Hong Kong semalam dengan penduduk berdepan suhu paling rendah dalam tempoh 60 tahun.

Pegawai kaji cuaca mengeluarkan amaran dengan berkata, wilayah itu berdepan gelombang sejuk yang teruk ditambah dengan angin monsun sejuk.

Suhu pagi semalam jatuh ke 3.3 darjah Celsius di bandar raya di selatan China itu. Di sesetengah kawasan berbukit, suhu jatuh di bawah paras beku.

Keadaan menjadi lebih teruk apabila kebanyakan bangunan tidak mempunyai sistem pemanas berpusat.

“Ia cuaca paling sejuk sejak 59 tahun. Kali terakhir cuaca sesejuk ini ialah pada 1957 dengan catatan 2.4 darjah Celsius pada Februari 1957,” kata pegawai Wong Wai-kin kepada AFP.

Walaupun cuaca sejuk itu tidak seteruk seperti yang melanda Amerika Syarikat dan kebanyakan tempat di China, ia pengalaman baru bagi ramai penduduk Hong Kong.

Dalam pada itu, gambar yang dikongsi di laman sosial kononnya menunjukkan salji di Hong Kong menjadi viral, semalam. Bagaimanapun, agensi kaji cuaca berkata, ia sebenarnya hujan ais kecil, bukan salji.

Sementara itu, 20 peserta acara rentas desa dikejarkan ke hospital selepas mengalami simpton hipotermia, kata media tempatan.

Keadaan suhu sejuk dijangka berterusan sehingga pertengahan minggu ini, menurut agensi kaji cuaca.

Cuaca paling sejuk pernah dicatat di Hong Kong ialah pada Januari 1893 dengan suhu pada 0 darjah Celsius.

Dalam perkembangan lain, akhbar People Daily melaporkan, salji melanda bandar Guangzhou kelmarin, kali pertama sejak 1929.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 5:08 AM