KERETA kabel di Blue Mountains ini harus dicuba.
KERETA kabel di Blue Mountains ini harus dicuba.
THREE Sisters tarikan pengunjung di Blue Mountains.
THREE Sisters tarikan pengunjung di Blue Mountains.
JANGAN lupa melihat bermacam haiwan di Featherdale.
JANGAN lupa melihat bermacam haiwan di Featherdale.
TAMAN haiwan yang mengetengahkan pelbagai haiwan di Australia.
TAMAN haiwan yang mengetengahkan pelbagai haiwan di Australia.
TETAMU bergambar kenangan bersama Firdausi (lima dari kiri) sekeluarga di kediamannya di Arncliffe, Sydney.
TETAMU bergambar kenangan bersama Firdausi (lima dari kiri) sekeluarga di kediamannya di Arncliffe, Sydney.
Oleh Rahayu Mohd Salleh


Terasa langkah percutian kali ini agak kelam-kabut. Kecuali tiket penerbangan dan penginapan yang ditempah awal, hal lain semuanya di saat akhir termasuklah urusan visa, menukar mata wang dolar Australia, malah destinasi percutian di Sydney pun masih belum muktamad saat pesawat meninggalkan lapangan terbang.

Membawa dua anak perempuan bersama, kami tidak fikir percutian mudah sekadar menggendong beg galas sesuai untuk kami berempat.

Bukan apa, bimbang si kecil tidak dapat mengikut rentak perjalanan orang dewasa seperti kami.

Malah kali ini, mencari penginapan pun agak berbeza. Jika selama ini saya sering bertanyakan ‘Encik Google’ mengenai hotel bajet tetapi untuk percutian kali ini, buat pertama kali saya menaip ‘Muslim home­stay in Sydney’. Dan setiap kali mencari itu juga, saya ditemukan dengan blog ini - “Diari Keluarga: Homestay Melayu Sydney”.

Keluarga itu orang Malaysia rupanya. Mudah sangat berurusan dengan mereka, sekadar menghantar beberapa mesej menerusi WhatsApp beberapa minggu sebelum tarikh penerbangan, malam itu kami disambut oleh tuan punya rumah yang bakal kami tumpangi, Firdausi Razali sejurus selesai urusan imigresen dan beg di lapangan terbang Sydney.

Meskipun tidak begitu pasti dengan destinasi percutian yang harus kami lawati, tuan rumah itu banyak memberikan saranan berdasarkan pengalamannya juga minat dan cita rasa kami. Justeru antara pilihan kami, kawasan pergunungan Blue Mountains.

Lokasi itu kalau tidak dikunjungi bagaikan tidak lengkap satu-satu percutian ke Sydney, itu kata-kata kebanyakan laman web percutian. Tanpa kata-kata sedemikian, melihat gambar pemandangan indah di Internet pun sudah membuatkan saya teruja.

Namun perjalanan ke Blue Mountains dari Sydney tidaklah dekat. Pergi balik menempuh perjalanan kira-kira 240 kilometer (km).

Mahunya seharian di sana tetapi sebelum tiba di kawasan pergunungan itu, ada destinasi khusus untuk keluarga yang membawa anak-anak. Zoo!

Featherdale Wildlife Park juga sebenarnya sangat sesuai untuk mereka yang tidak pernah melihat haiwan yang begitu sinonim dengan Australia misalnya koala dan kanggaru.

Harga tiket boleh tahan mahal. Mahal kerana tukaran mata wang negara kita kini.

Dewasa dikenakan bayaran $30 (RM93) manakala kanak-kanak separuh harga. Panas sungguh cuaca hari itu. Teriknya membakar kulit, bahang suasana sekitar usah cerita.

Nasib baiklah Featherdale ini dipenuhi dengan rimbunan pohon yang menjadi teduhan untuk pengunjung yang rata-rata kelihatan sangat metropolitan.

Lokasi itu memang sesuai untuk pelancong asing namun penduduk tempatan tidak kurang ramai kebanyakannya membawa anak-anak yang masih kecil beriadah bersama haiwan jinak di sini.

Puas juga hati saya dapat menghadap koala yang selama ini hanya cenderahati kecil bentuk haiwan comel ini saja yang saya miliki. Selain koala di depan mata, itu juga kali pertama saya berhadapan dengan kanggaru, wombat, penguin, buaya malah beberapa jenis ular yang terkurung di dalam sangkar kaca masing-masing.

Kunjungan ke taman haiwan ini boleh selesai dalam masa sejam saja namun mereka yang ingin berlama-lamaan pun tidak mengapa kerana ada jadual khas persembahan haiwan bersama penjaga taman.

Legenda cinta tiga beradik

Sebelum tiba di Blue Mountains, kami yang berkenderaan selesa dari pinggir kota Sydney dimaklumkan oleh Firdausi mengenai asal-usul cerita di sebalik batu-batuan membentuk tiga arca di kawasan pergunungan ini.

Batu-batuan dikenali sebagai Three Sisters itu sebenarnya mewakili kisah cinta membabitkan tiga beradik perempuan daripada puak yang mendiami kawasan berkenaan suatu ketika dulu.

Menurut legenda masyarakat peribumi, bentuk batu-batuan yang kelihatan agak aneh ini menceritakan kisah cinta tidak kesampaian tiga beradik daripada puak Katoomba dikenali sebagai Meehni, Wimlah dan Gunnedoo yang tinggal di Lembah Jamison. Tiga gadis muda yang cantik ini jatuh cinta dengan tiga adik-beradik lelaki daripada puak Nepean namun malangnya, undang-undang puak tidak membenarkan mereka untuk berkahwin.

Tiga beradik lelaki itu eng­gan menerima peraturan terbabit lantas mereka bercadang menggunakan kekerasan untuk menangkap tiga beradik perempuan itu hingga mengakibatkan pertempuran puak besar-besaran.

Melihatkan nyawa tiga beradik perempuan itu dalam bahaya, seorang ahli sihir daripada puak Katoomba menyihirkan tiga beradik itu menjadi batu untuk melindungi mereka daripada sebarang ancaman.

Hasratnya mahu menukar semula sihir itu apabila peperangan tamat namun ahli sihir itu pula terkorban.

Memandangkan hanya ahli sihir ini saja yang boleh mengubah sihir terbabit, tiga beradik itu kekal menjadi batu malah arca batu-batuan berkenaan dianggap sebagai peringatan peperangan terbabit buat generasi seterusnya.

Jika merancang ke kawasan pergunungan ini, seeloknya luangkan masa sehari untuk menjenguk taman negara Blue Mountains ini. Apabila tidak terkejar-kejar, banyak aktiviti lain boleh disempurnakan termasuklah menikmati hidangan di bawah teduhan pohon merendang.

Lebih menarik jika dibawa sekali bekal makan tengah hari, jadi tidak bimbang perut merengek minta diisi sewaktu asyik menghirup udara segar di sini. Pakej percutian kami sangat menyenangkan hari itu kerana dibekalkan sekali dengan hidangan nasi ayam, hasil air tangan isteri Firdausi.

Persekitaran menghijau di Echo Point Katoomba, kira-kira 2.5 kilometer dari Great Western Highway yang menarik jutaan pengunjung saban tahun ini sangat mengingatkan saya kepada aktiviti pendakian gunung yang sudah agak lama saya tinggalkan.

Kecuali terik mentari yang bagaikan menyiat kulit saat itu, menikmati alam yang serba menghijau sebegini memang mendamaikan. Terasa mahu saja menghabiskan masa berjam-jam meneroka kawasan sekitar yang tersedia laluan kecil berserta tangga itu.

Tetapi ada lagi yang mahu dijenguk di situ, Scenic World yang menyediakan empat laluan kereta kabel (Scenic Railway, Scenic Skyway, Scenic Cableway dan Scenic Walkway) yang masing-masing punya panorama pemandangan indah dan cerita tersendiri.

Scenic Skyway misalnya ialah kereta kabel tertinggi di Australia manakala Scenic Cableway pula direkodkan sebagai kereta kabel terbesar di Australia. Dan jika masih tidak puas, masih ada kedai cenderahati menjual pelbagai barangan yang boleh dijengah di sini.

Perjalanan pulang lebih satu jam ke Sydney petang itu membuatkan anak-anak terlena, sudah kenyang dan sedikit kepenatan nampaknya. Bagi saya, kepenatan itu memang berbaloi dan tentu sekali terima kasih tidak terhingga buat Firdausi (catatanfirdausi.blogspot.com) sekeluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2016 @ 5:01 AM