Putin
Putin

London: Moscow semalam menolak dan menganggap satu siasatan Britain yang mendapati Presiden Russia, Vladimir Putin kemungkinan membenarkan pembunuhan bekas perisikan, Alexander Litvinenko di London, 10 tahun lalu sebagai lawak.

Litvinenko, pengkritik Kremlin, meninggal dunia akibat keracunan radiasi pada 2006 ketika berusia 43 tahun selepas minum secawan teh yang dicemari polonium di sebuah hotel di London.

Siasatan itu mendakwa dua warga Russia yang dianggap suspek utama oleh polis Britain, Andrei Lugovoi dan Dmitri Kovtun kemungkinan meracun Litvinenko atas arahan perkhidmatan keselamatan Russia.

Bagaimanapun, Lugovoi menafikan laporan itu yang dianggapnya sebagai mengarut.

“Mungkin ini satu lawak. Kemungkinan ia boleh termasuk dalam senarai lawak terbaik Britain,” kata jurucakap Putin, Dmitry Peskov.

Siasatan terbuka itu dikatakan berdasarkan data sulit perkhidmatan rahsia yang tidak dinamakan.

Sementara itu, Lugovoi memberitahu BBC, siasatan itu sampai ke tahap kesimpulan yang tidak masuk akal dan hakim yang mengetuainya jelas tidak waras.

“Saya lihat tiada perkara baru.

“Saya minta maaf, selepas 10 tahun, tiada perkara baru ditemui, yang ada hanya rekaan, anggapan dan khabar angin,” jelasnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2016 @ 5:05 AM